PUTRAJAYA: Bila memperkatakan mengenai cara mengundi, yang sentiasa terbayang dalam fikiran adalah cara tanda pangkah dalam kotak pilihan kertas undi sebagai tanda pilihan pengundi kepada pihak yang disokong. Maka timbul telahan sekiranya pengundi menggunakan tanda selain pangkah, undi itu akan dianggap tidak diterima atau ditolak. Namun anggapan di atas sebenarnya kurang tepat.Dalam proses pengiraan undi, pihak SPR sedaya upaya memastikan setiap undi diberi keadilan sewajarnya untuk diterima berdasarkan undang-undang yang diguna pakai untuk menjalankan proses pilihan raya. Oleh itu, setiap kertas undi yang bertanda akan diperhatikan dengan teliti untuk menentukan sama ada ia boleh digunakan dalam pengiraan undi.Ia juga bertujuan untuk mengurangkan jumlah undi ditolak, demi kepentingan semua pihak yang bertanding. Umum sedia maklum cara yang betul untuk menanda kertas undi adalah dengan menggunakan tanda pangkah.Tanda pangkah perlu dilukis dalam kotak yang disediakan di kertas undi. Tanda ini perlu berada betul-betul dalam kotak dan tidak melepasi sempadan sehingga melangkau masuk ke ruang calon yang lain. Ini bermaksud tanda pangkah itu tidak sepatutnya melangkau masuk ke ruang memangkah, ruang logo ataupun ruang nama calon pada kertas undi. Sekiranya pengundi menanda kertas undi menggunakan apa-apa tanda selain tanda pangkah, undi mereka akan dimasukkan dalam kategori undi ragu sewaktu proses pengiraan undi. Proses ini akan turut disaksikan dan dipantau ejen mengira undi pihak-pihak yang bertanding. Situasi undi ragu juga boleh berlaku jika pengundi menanda pangkah atau apa-apa tanda selain pangkah pada ruang logo atau ruang nama calon yang bertanding dan bukannya pada ruang memangkah yang disediakan. Status undi ragu tidak akan menyebabkan kertas undi ditolak secara automatik. Sebaliknya ia akan dinilai semula oleh petugas pilihan raya seperti Ketua Tempat Mengundi (KTM) atau jika perlu, oleh Pegawai Pengurus atau Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya di tempat mereka ditugaskan. Tetapi ini tidak bermaksud pengundi boleh sewenang-wenangnya menggunakan sebarang tanda sesuka hati mereka untuk mengundi.Dalam keadaan sebeginilah buku ‘Panduan Untuk Memutuskan Undi Ragu Mengandungi Pindaan Sehingga 2017' terbitan Akademi Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), dijadikan rujukan. Buku ini mengandungi panduan dalam bentuk penjelasan dan gambarajah untuk rujukan KTM bagi tujuan membuat keputusan untuk menentukan sesuatu undi ragu itu diterima atau ditolak. Menggunakan panduan ini, sebarang pertikaian tentang status setiap helai kertas undi yang telah ditanda dapat diselesaikan dengan segera menggunakan kaedah yang tepat dan memuaskan hati semua pihak terlibat. Ia sekali gus dapat mengelakkan tuduhan kononnya Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai berat sebelah dan tidak berlaku adil dalam menjalankan proses demokrasi berparlimen negara menerusi pilihan raya yang bebas dan adil. Menurut buku panduan ini terdapat sembilan situasi yang menyebabkan sesuatu undi ragu boleh diterima dan sepuluh situasi yang menyebabkan undi ragu ditolak. Sebagai contoh, sekiranya tanda yang dibuat menunjukkan dengan jelas calon yang diundi, berkemungkinan besar undi itu diterima.Sekiranya kertas undi terkoyak sedikit atau terkena dakwat pilihan raya tetapi tidak menjejaskan butiran undi di dalamnya, ia juga masih diterima. Dalam Pilihan Raya Umum 14 (PRU 14) yang akan berlangsung pada 9 Mei ini, setiap pengundi pasti mahu memastikan pilihan mereka diambil kira untuk menentukan pemenang pilihan raya. Justeru mereka perlu mengelak daripada melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan kertas undi mereka ditolak. Setiap undi akan menentukan nasib rakyat di sesuatu kawasan dan seluruh negara.Perkara pertama yang perlu pengundi pastikan adalah kertas undi mereka dicap atau ditindik dengan tanda rasmi SPR. Sekiranya kedua-dua perkara ini tidak berlaku, pengundi perlu memastikan kertas undinya ditanda tangani KTM di bahagian atas sebelah kiri kertas undi. Antara kesalahan yang menyebabkan undi ditolak adalah menanda undi kepada lebih daripada satu calon, tanda undi yang melangkaui ruang calon yang lain serta membuat tanda di luar ruang nama calon, ruang simbol atau ruang untuk memangkah. Pengundi juga dilarang membuat sebarang tanda atau catatan yang membolehkan dirinya dikenali melalui tanda atau catatan itu seperti menulis nama, nombor telefon atau nama samaran. Melukis di atas kertas undi juga dilarang.Perbuatan menulis sebarang perkataan termasuk perkataan lucah, sensitif dan yang berbentuk persendaan adalah tidak dibenarkan. Kesemua perbuatan yang dinyatakan di atas akan menyebabkan undi ditolak.Selain itu kertas undi yang dikoyak, sengaja diceraikan atau dikoyakkan nombor sirinya serta kertas undi yang kosong juga akan ditolak. Jika kertas undi terkoyak atau kotor dengan dakwat pilihan raya, pengundi boleh memohon kertas undi yang baharu daripada KTM. Peraturan 25 (9) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 menyatakan ‘Sebelum menolak sesuatu kertas undi, ketua tempat mengundi hendaklah menunjukkannya kepada calon, ejen pilihan raya atau ejen mengiranya, jika hadir dan menimbangkan pendapat mereka mengenainya'. KTM perlu mendengar pendapat dan pandangan pihak yang dinyatakan dalam Peraturan 25 (9) dalam proses membuat pertimbangan untuk menerima atau menolak undi ragu yang dinilai. KTM juga perlu memastikan dirinya konsisten dalam membuat keputusan dalam penilaian beliau bagi setiap kes kertas undi ragu yang serupa atau seakan-akan serupa. Dalam kata lain, SPR tidak akan sewenang-wenangnya menerima sesuatu undi ragu untuk dikira dan dalam masa yang sama tidak pula semudahnya menolak kertas undi dalam kategori ragu.Panduan ini turut menyatakan satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah niat seseorang pengundi. Jika niat seseorang untuk memberikan undi kepada mana-mana calon dapat dilihat dengan jelas maka undi itu diterima. Sebaliknya jika niat pengundi tidak dapat dilihat dengan jelas maka undi itu hendaklah ditolak.-Bernama