suria

Pengundi pos cari bantuan pastikan kertas undi tiba pada waktunya

BEIJING: Tinggal dua hari lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pengundi pos di sini mencari kaedah alternatif untuk menghantar kertas undi mereka ke Malaysia selain perkhidmatan penghantaran yang biasa ditawarkan.

Dalam beberapa hari lalu, rakyat Malaysia yang masih belum menerima kertas undi mula bertanyakan kepada rakan senegara yang telah menempah tiket penerbangan pulang untuk mengundi.

Mereka cuba mendapatkan bantuan untuk membawa pulang kertas undi dan menghantarnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara terus.

Perkhidmatan penghantaran surat dari Beijing ke Kuala Lumpur lazimnya mengambil masa antara dua dan lima hari atau mungkin lebih untuk tiba di kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak.

"Kami berharap setiap undi dikira.

"Orang mula berkongsi maklumat tentang siapa dan bila mereka akan pulang," kata seorang pelajar dari Universiti Bahasa dan Budaya Beijing, Nursyamimi Azmi.

Nursyamimi, 23, bersama rakan sekelasnya Nor Shafikah Md Nawi dan Norfarahin Md Sidek mengambil kertas undi mereka di Kedutaan Malaysia di sini pada Sabtu.

Mereka telah menghantar kertas undi ke kedutaan bagi memastikan ia tidak bercampur dengan surat lain atau lewat tiba ke Malaysia.

Nor Shafikah berkata, dia teruja untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, dia berkata bahawa SPR sepatutnya menghantar kertas undi itu lebih awal.

"Kebanyakan kami tidak menerima kertas undi berdasarkan perbualan antara pelajar dalam aplikasi sembang," katanya.

Kertas undi mula tiba pada Rabu, selepas cuti selama tiga hari sempena Hari Buruh di China.

undi pos, pru14

Artikel Lain