suria

Syed Saddiq si ‘anak kucing’ yang sedia ‘mengaum’

Walaupun digelar 'anak kucing' namun Syed Saddiq tidak melihat ia sebagai halangan untuk berbakti kepada rakyat. Foto Instagram @syedsaddiq


JEJAKA tinggi lampai ini dianugerahkan keperibadian yang istimewa dan lebih ketara kerana memiliki karakter serta karisma sebagai insan berjiwa besar.

Setiap kali diajak berbual mengenai pelbagai isu kenegaraan khususnya berkaitan pembangunan anak muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagaikan seekor harimau yang sedia membaham mangsanya.

Ya, harimau. Walaupun digelar sebagai ‘anak kucing’ kerana usianya yang baru ‘setahun jagung’ dalam politik, beliau yakin faktor usia bukan penghalang untuknya berbakti kepada rakyat khususnya pengundi dalam kawasan Parlimen Muar, Johor.

“Saya mungkin muda dan comel seperti anak kucing, tapi jangan tak tahu anak kucing juga sebenarnya boleh mengaum.

Syed Saddiq calon paling muda pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Jangan lupa, PM (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga pernah menjadi ahli Parlimen termuda yang pernah dipilih ketika beliau berusia 23 tahun.

"Tak salah untuk saya juga menjadi wakil rakyat pada usia setahun jagung,” katanya kepada mStar Online.

Pada usia 25 tahun, Syed Saddiq diberi kepercayaan bertanding di Parlimen Muar sebagai calon Pakatan Harapan menentang penyandang daripada Umno, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Sebagai antara calon muda pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), anak bongsu daripada empat beradik ini juga akan menentang seorang lagi calon daripada PAS, Abdul Aziz Talib menerusi saingan tiga penjuru.

Restu ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz sangat penting buat anak muda ini.

Anak jati Johor Bahru, Johor ini mendapat pendidikan awal di negeri kelahirannya sebelum menyambung pelajaran di Maktab Tentera Diraja (MTD), Kuala Lumpur ketika berusia 16 tahun.

Akui Syed Saddiq, sejak daripada itu karakternya sebagai seorang yang agak pasif dan pemalu mula berubah.

Pergaulannya mula mengubah corak pemikirannya hingga menjadi lebih terbuka terutama dalam mengikis sikap rasis, seksis dan segalanya yang bersifat negatif.

“Hak kesamarataan perlu diberi perhatian. Setiap rakyat di negara ini mempunyai hak untuk mengubah masa depan mereka tanpa mengira bangsa dan agama.

Syed Saddiq bertemu pengundi di Muar, Johor.

“Jika saya diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat, hal ehwal pendidikan sudah pasti menjadi isu penting yang akan diberi keutamaan kerana masa depan generasi akan datang bergantung kepada latar belakang akademik,” katanya penuh bersemangat seolah-olah sedang berbahas dipentas debat.

Gaya pertuturan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-udang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini cukup meyakinkan.

Tidak hairanlah jika Syed Saddiq sebelum ini pernah menyandang gelaran sebagai pendebat terbaik Asia sebanyak tiga kali.

Bercerita mengenai polisi dan politik, Ketua Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, keputusan untuk terjun ke dunia ini bermakna beliau sedia mengabdikan usia mudanya kepada rakyat.

Unik... Poster kempennya menampilkan kelainan.

“Minat saya sejak kecil adalah dalam bidang pendidikan. Saya sentiasa mahu menjadi seorang pendidik namun apakan daya, banyak halangan yang saya terima dalam mengejar cita-cita itu.

“Kini saya pilih bidang politik walaupun terpaksa tangguhkan dulu hasrat untuk mengambung pengajian di Universiti Oxford, United Kingdom,” katanya.

Jelasnya, membetulkan sistem sedia ada menjadi misinya untuk untuk membawa perubahan kepada Malaysia.

“Saya tak mahu generasi akan datang berhadapan nasib seperti saya, pendidikan adalah keutamaan,” katanya.

Syed Saddiq mempunyai karakter dan karisma sebagai pemimpin yang berjiwa besar.

Berborak mengenai rutin hariannya yang pertama kali berkempen sebagai calon, Syed Saddiq berkata, ia adalah satu pengalaman yang cukup berharga.

“Orang-orang Muar sangat ramah dan mesra. Saya tak ada masalah untuk perkenalkan diri sebagai calon kerana rata-rata sudah mengenali saya.

“Cuma ramai yang bertanya tentang umur, mereka kata saya mungkin terlalu muda.

"Tapi saya katakan lebih baik pilih yang muda dan bertenaga daripada yang tua namun tak buat apa-apa,” katanya sinis.

Artikel Lain