suria

“Itu bukan periuk nasi ‘cicak’ pertama”

Bangkai sejumlah bangkai cicak dan lipas yang ditemui dalam sebuah periuk nasi milik seorang pelanggan. Foto ihsan Syahirah Che Lah

PETALING JAYA: Seorang wanita dikejutkan dengan penemuan sejumlah bangkai cicak di dalam sebuah periuk nasi milik pelanggan yang dihantar untuk dibaiki di kedai elektrik milik bapanya.

Beberapa gambar periuk nasi 'cicak' yang dikesan abangnya turut menemui bangkai lipas telah dikongsi di halaman Facebooknya pada Khamis lalu sebelum menjadi tular.

Wanita berkenaan, Syahirah Che Lah, 26, berkata, penemuan cicak di dalam peralatan elektrik bukan yang pertama disaksikan mereka setiap kali ia dihantar pelanggan untuk dibaiki di premis yang beroperasi di Machang, Kelantan.

“Itu bukan periuk nasi ‘cicak’ yang pertama. Dah banyak periuk nasi yang dihantar pelanggan sebelum ini kami temui bangkai cicak. 

“Tapi biasanya kami jumpa seekor atau dua cicak saja. Tapi periuk nasi yang satu ini ‘luar biasa’ sebab ada lebih 10 cicak, siap ada lipas yang baru mati,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Anak bongsu daripada enam beradik ini berkata, dia bernasib baik kerana kesemua cicak dan lipas yang dijumpai itu telah mati dan bangkainya pula kering.

Ini kerana, kata Syahirah yang lebih mesra dengan panggilan Eirah, dia seorang yang fobia dengan kedua-dua cicak dan lipas.

“Saya memang geli dengan cicak, lebih-lebih lagi lipas. Keluarga dan sesiapa yang mengenali saya tahu saya fobia dengan binatang ni.

“Bila tengok ada banyak cicak termasuk lipas yang dah mati dalam periuk nasi, saya lega sebab kalau masih hidup tentu saya menjerit,” katanya secara berseloroh. 

Syahirah Che Lah.

Sehubungan itu, ibu kepada tiga anak tersebut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memeriksa peralatan elektrik mereka dari semasa ke semasa.

Menurut Eirah yang mengusahakan kedai roti dan kek di Machang berkata, bapanya memberitahu bahawa cicak-cicak di dalam periuk nasi antara punca kerosakan.

“Periuk nasi ni kita guna setiap hari, gunakan pun untuk makanan. Jadi, jagalah kebersihan peralatan kita, jangan biarkan ‘penunggu’ cicak dalam tu.

“Kalau dibiarkan penutup periuk terbuka lama, haiwan-haiwan kecil ini mudah masuk dan ia akan ‘bersembunyi’ di sebalik plat besi di dalamnya,” katanya.

Tambah Eirah, orang ramai boleh menghantar peralatan elektrik untuk diperiksa kerana ia boleh dianggap sebagai perbuatan yang melecehkan.

“Macam di kedai abah saya, kami ada buat servis untuk periksa peralatan elektrik seperti periuk nasi. Bahagian dalamnya akan dibuka untuk diperiksa sama ada cicak atau binatang lain ‘menyorok’.

“Pada masa sama, ia boleh dibuka sendiri menggunakan pemutar skru. Jangan tunggu rosak baru nak periksa. Apa yang penting jangan biarkan cicak menjadi ‘penunggu’ dalam periuk nasi anda,” katanya.

cicak

Artikel Berikut

Artikel Lain