suria

Tular #SPRtipu, apa cerita?

PETALING JAYA: Media sosial kecoh dengan sejumlah pihak yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kurang 24 jam sebelum rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu.

Kebanyakannya mendakwa mereka adalah pengundi pos khususnya di luar negara dan tidak kurang juga penduduk dalam negara yang layak mengundi tetapi mendakwa lewat atau masih tidak menerima kertas undi pos.

Dakwa mereka, kelewatan itu menimbulkan persoalan sama ada kertas undi mereka akan diambil kira memandangkan tempoh masa yang singkat untuk ia tiba pada hari mengundi yang ditetapkan pada 9 Mei ini.

Luahan perasaan mereka turut disertakan gambar sambil memegang plakad ‘Kertas undi saya di mana?’ yang dimuat naik di media sosial dengan tanda pagar #SPRtipu.

Seorang lelaki pada Isnin menulis di Twitter: “Saya mencari mana-mana rakyat Malaysia yang terbang dari Milan ke Kuala Lumpur hari ini atau esok yang boleh bawa pulang kertas undi saya dan serahkan kepada ahli keluarga saya di KLIA.”

“Saya dapat kertas undi pada Isnin 7 Mei kira-kira pukul 2.30 petang (waktu Timur). Saya buat undi dan dapatkan jiran saya untuk tandatangan di bahagian ‘saksi’, dan saya bergegas ke ***** (syarikat pengangkutan ekspres). Kakitangan beritahu saya kertas undi hanya akan tiba di alamat pada 10 Mei pukul 6 petang,” dakwa seorang lagi di Twitter.

Menurut SPR, sampul surat undi pos yang mengandungi kertas undi perlu tiba di pejabat Pegawai Pengurus masing-masing sebelum pukul 5 petang pada 9 Mei, sekali gus bermakna kertas undi yang tiba selepas pukul 6 petang Rabu tidak akan dikira.

“Kertas undi saya di mana?” menurut plakad yang dipegang seorang wanita yang mendakwa dirinya kini di Paris, Perancis yang merupakan pengundi di kawasan Parlimen Beruas di Perak.

Seorang netizen yang mendakwa berada di Sydney, Australia pada Isnin pula memaklumkan dia masih belum menerima kertas undi.

“Baru telefon khidmat kurier dan saya akan menerima kertas (undi) saya esok (Selasa). Tidak pasti pukul berapa. Ini bermakna satu hari untuk menghantar pulang. Lawaknya. SPR sepatutnya memastikan semua orang berhak untuk mengundi. Tetapi sekarang mereka jelas mensabotaj undi pos,” tulisnya di Facebook.

mStar Online berusaha untuk mendapatkan maklum balas daripada Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengenai dakwaan dan isu berkenaan yang kini tular di media sosial, namun setakat ini belum berhasil.

Pada Isnin, SPR menasihatkan pengundi-pengundi supaya tidak mudah terpengaruh atau percaya dengan mesej palsu yang ditularkan di media sosial oleh pihak tertentu yang bertujuan mengelirukan mereka.

Mohd Hashim dalam satu kenyataan memberitahu, penyebaran pelbagai mesej palsu berbentuk video, teks dan gambar di media sosial kini semakin rancak menjelang hari pengundian PRU14 pada Rabu.

Kenyataan Mohd Hashim itu menumpukan isu penyebaran mesej palsu, membabitkan kertas undi pos disapu lilin, kaedah penandaan kertas undi, tuntutan perjalanan mengikut jarak perbatuan dan terdapat titik hitam pada kertas undi.

SPR sebelum ini memaklumkan, kira-kira 12,000 pengundi luar negara dan 299,000 pengundi pos di Malaysia pada PRU14.

SPR, undi pos

Artikel Sebelum

Artikel Lain