suria

Pendidikan nadi masa depan generasi muda Johor

Mohamed Khaled (kanan) melihat model Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor Taman Bukit Mutiara ketika majlis pecah tanah sekolah berkenaan di Johor Bahru bulan lalu.

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor telah mengenal pasti pendidikan sebagai pemacu utama bagi mengubah negeri itu sebagai kuasa besar ekonomi serantau.

Abdul Rahim A. Rahman, 46, yang bekerja sendiri dan memiliki empat anak berusia lapan hingga 20 tahun berkata, kualiti pendidikan di negeri itu semakin meningkat dalam tempoh lima tahun.

"Kerajaan negeri berupaya menyediakan pendidikan buat anak-anak Johor bermula dari pra sekolah hingga ke peringkat tertinggi.

"Pemberian pinjaman pendidikan tanpa perlu membayar kadar faedah dan biasiswa banyak membantu khususnya ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke universiti," ujarnya.

Pengimpal, Jamal Zainuddin, 27, pula berkata, walaupun dia tidak berjaya menyambung pelajaran ke universiti menerusi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia tidak mematahkan semangatnya untuk mendapatkan pendidikan bagi menjamin masa depan.

Malah, dia mengambil keputusan untuk belajar di Institut Kemahiran Mara (IKM) dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Saya kini mempunyai pekerjaan di Pasir Gudang dengan pendapatan yang bagus. Saya merancang untuk mengambil master dalam bidang pengimpalan suatu hari nanti bagi meningkatkan diri untuk memenuhi keperluan pekerja berkemahiran tinggi," ujar Jamal.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Informasi, Datuk Ayub Rahmat berkata, kerajaan negeri telah memperkenalkan dana Jauhar Kids, bertujuan membuka tabung simpanan pendidikan untuk kanak-kanak di negeri itu dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

Malah, setiap bayi akan menerima RM50 untuk membuka akaun simpanan kerana kerajaan negeri tidak mahu mereka terbeban dengan pinjaman pendidikan di masa hadapan.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain perkembangan pesat bidang ekonomi, sektor pendidikan turut menjadi fokus utama.

"Dalam manifesto kami yang digelar sebagai Johor Hi-5, terdapat lima kunci utama termasuk kemahiran, bakat dan perkembangan ilmu dengan lebih 230 perkara yang dijanjikan buat warga Johor dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kini, terdapat 1,182 sekolah rendah dan menengah di Johor dan 19 lagi akan dibina dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ia termasuklah lima sekolah Cina dan satu sekolah Tamil menjelang 2023 dan menetapkan skim peningkatan gaji untuk guru prasekolah agama.

"Kita akan memastikan menjelang 2023, semua 794 sekolah menengah dan rendah di Johor menjalankan Porgram Transformasi Sekolah 2025 (TS2025)," tambahnya lagi.

Selain itu, Mohamed Khaled turut memberitahu Biasiswa Dato Onn yang diperkenalkan pada 1984 telah memberi manfaat kepada 46,381 pelajar sehingga 2017 dengan kos sebanyak RM21.4 juta.

Kerajaan negeri turut berhasrat untuk melonggarkan syarat permohonan biasiswa dengan sasaran 400 hingga 500 penerima biasiswa setiap tahun termasuk pelajar di peringkat PhD.

Tambahnya, kerajaan negeri akan memperluas pinjaman pendidikan tanpa kadar faedah bagi membolehkan anak kelahiran Johor menikmati manfaat itu.

"Kita juga akan meneruskan program inklusif dengan komuniti India menerusi Yayasan Sultanah Rogayah dengan meningkatkan kebajikan dan dana pendidikan.

"Yayasan Sultanah Fatimah juga akan menambah peruntukan untuk membantu komuniti Cina mendapat pendidikan," katanya.

Barisan pelajar Johor yang menerima biasiswa Dato Onn baru-baru ini.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, berlaku peningkatan permintaan untuk pekerja berkemahiran tinggi menyebabkan kerajaan mahu menambah jumlah pelajar yang menerima insentif Dana Latihan Kemahiran Johor dari 2,500 kepada 5,000 dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, kerajaan negeri juga memperkenalkan program Satu Keluarga Satu Kemahiran dan memperuntukkan insentif untuk kelas pengekodan dan kemahiran multimedia yang mana dana disalurkan menerusi pihak berkuasa tempatan dengan target 10,000 pelatih dalam 10 tahun.

Selain TVET, RM5 juta turut disalurkan ke Dana Latihan Kemahiran Johor.

"Menerusi Agenda Kemahiran Johor pada 2016, kerajaan negeri membangunkan Skills Johor dengan peruntukan RM100,000 untuk menjadi pusat latihan dalam bidang TVET.  Ia berupaya menempatkan sehingga 20,000 pelatih.

"Pendidikan memaikan peranan penting dalam mencapai aspirasi Johor untuk menjadi kuasa ekonomi bukan sahaja di Malaysia malah di rantau ini," kata Mohamed Khaled.

Malah, langkah yang diambil oleh kerajaan negeri katanya bertujuan memastikan masa depan yang cerah untuk generasi seterusnya.


Johor, Khaled, Hi-5

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain