GEORGE TOWN: Pemuda Umno Pulau Pinang meminta presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan ekoran kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Ketuanya Rafizal Abd Rahim (gambar) juga meminta Najib memberi laluan kepada pemimpin parti yang lebih muda. Beliau berkata Pemuda Umno bukan cuba mencari alasan atau tempat untuk menuding jari di atas kekalahan Barisan Nasional (BN) tetapi pada hakikatnya Najib adalah penyebab utama kekalahan BN di peringkat pusat mahupun negeri. "Beliau (Najib) perlu menghayati apa yang beliau selalu sebut ‘Saya Berjiwa Besar' dan segera menyerahkan tampuk kepimpinan tertinggi Umno kepada orang yang lebih layak daripada beliau," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat. Beliau berkata Umno perlu melalui satu proses ‘Reformasi Dalaman' dan penjenamaan semula agar parti itu menjadi kembali relevan pada PRU15 nanti yang akan menyaksikan semakin ramai orang muda menjadi pengundi kali pertama. “Maka dengan penuh perasaan rendah diri, Pergerakan Pemuda Umno Negeri Pulau Pinang ingin meminta agar transisi jawatan presiden di dalam Umno dapat disegerakan dan diberi kepada pemimpin yang muda dan popular dalam kalangan rakyat," katanya. - Bernama