KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berasa sangat gembira selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. "Saya amat teruja kerana apabila saya bertemu dengan suami saya, dia berada dalam keadaan gembira. "Dia mengikuti acara perdana menteri baharu dan bagaimana kemenangan Pakatan Harapan telah mencipta sejarah serta dia adalah sebahagian daripadanya," katanya dalam sidang akhbar di Hospital Rehabilitasi Cheras selepas bertemu Anwar di sini pada Jumaat (11 Mei). Wan Azizah, yang akan menyandang jawatan timbalan perdana menteri berkata, walaupun Anwar tidak terlibat secara langsung dalam pilihan raya kali ini, beliau telah menyumbang kepada kejayaan parti itu. Ia adalah pertemuan pertamanya dengan Anwar sejak 9 Mei. "Walaupun dia hanya jadi penonton kali ini dan tidak berada di lapangan, dia menyumbang kepada perubahan kerajaan," kata Wan Azizah. Ketika ditanya tentang kesihatan suaminya, Wan Azizah berkata: "Dia ada masalah sedikit dengan tangannya, tapi saya rasa dia sudah lupa sebab dalam 'mood' kemenangan." Mengenai pembebasan Anwar pula, Wan Azizah berkata ada peraturan penjara yang perlu dipatuhi sebelum ia diluluskan.