PETALING JAYA: Personaliti televisyen Mat Dan telah berkongsi kegembiraan bersama peminat apabila kini bergelar bapa kepada cahaya mata lelaki. Pengacara rancangan Haramain Backpackers itu menimang anak lelaki sulung pada 5 Mei lalu. Berita tersebut dikongsi oleh hos program Mat Dan Kaki Jalan itu menerusi entri di laman Instagram miliknya pada Sabtu dan mendapat lebih 100,000 tanda suka. Menerusi entri tersebut, Mat Dan atau nama Islamnya, Kareef Daniel Abdullah memuat naik sekeping foto bayi. "Alhamdulillah, pada 5 Mei lalu, jam 6.43 petang, isteri saya selamat melahirkan anak sulung kami. "Kedua-dua ibu dan anak dalam keadaan sihat. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga," tulis Mat Dan di ruangan kapsyen. Mat Dan dan isterinya, Nadifa Adnan diijabkabulkan pada 12 Mac tahun lalu di Bukit Chendering, Kuala Terengganu.