suria

PM jumpa semua KSU esok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menemui semua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian  esok bagi menjelaskan fungsi dan peranan kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata sesi tersebut akan digunakan untuk memberi penjelasan mengenai apa yang akan dilakukan kerajaan baharu khasnya dalam menentang rasuah dalam pentadbiran kerajaan.

“Insya-Allah esok saya akan menemui kesemua KSU kementerian dan menerangkan kepada mereka apa hasrat kita dan apa yang akan kita lakukan khasnya berkaitan rasuah,” katanya dalam sesi penerangan khas kepada RTM dan Bernama di kediaman beliau di Seri Kembangan dekat sini, Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai apa yang akan berlaku kepada 1.6 juta penjawat awam memandangkan, dalam laporan sebelum ini, akan wujud penggabungan kementerian dalam kabinet baharu yang bakal dibentuk kerajaan PH.

Pada Sabtu, Dr Mahathir menamakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Mengulas lanjut mengenai antirasuah  dalam pentadbiran kerajaan baharu itu, Dr Mahathir berkata kerajaan sangat bertegas dalam hal tersebut kerana tidak mahu menteri yang dilantik terlibat  dalam amalan korupsi.

Pengerusi PH itu menjelaskan sejak kempen pilihanraya umum, PH telah menerima sumbangan yang banyak untuk membiayai pilihanraya itu dan kini, setelah dipilih rakyat menjadi kerajaan, segala bentuk sumbangan dan derma tidak boleh diterima mana-mana pihak melainkan dengan keizinan atau dimaklumkan kepada kabinet.

"Kadang-kadang ada orang ramai bagi sumbangan dalam bentuk hadiah. Hadiah yang boleh diberi adalah dalam (bentuk) makanan, tetapi bukan dalam (bentuk) barangan bernilai,” katanya.

Menyentuh mengenai kabinet baharu pula, Dr Mahathir berkata pengumumannya akan dibuat secepat mungkin.

"Kita akan bentuk kabinet kecil yang mengandungi 10 orang sahaja. Kita sudah ada tiga orang, dan kita perlu tujuh lagi untuk cukupkannya secepat mungkin dengan setiap parti memberi calon nama dan kementerian pilihan mereka.

"Saya harap ia dapat diselesaikan dalam minggu ini, jadi, kita dapat bentuk kabinet 10 orang,” katanya.

Dr Mahathir menjelaskan dari situ, beliau selaku perdana menteri, akan menyemak senarai calon tersebut sebelum membuat keputusan mengenai  jawatan mereka selepas merujuknya terlebih dahulu dengan presiden parti masing-masing.

Beliau menarik perhatian kabinet itu akan bergerak sebagai kabinet yang sah, sementara kerajaan memilih calon-calon lain dari negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kabinet lengkap itu tidak akan melebihi 30 kementerian,” kata beliau.--  Bernama  


PH, Mahathir

Artikel Lain