suria

"Peguam negara kita berikan dia cuti..." - Tun M

PETALING JAYA: Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan direhatkan daripada tugasnya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin.

Kata beliau, peranan itu akan diambil oleh peguam cara negara sebagai seseorang yang mempunyai kuasa dan boleh menjalankan tugas peguam negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Apandi masuk pejabat seperti biasa

"Kedudukan peguam negara ni susah sikit sebab beliau baru diberi kontrak baharu. Kita perlu ikut undang-undang.

"Pada masa ini, soal penggantungan jawatan ini memerlukan beberapa tindakan... sebab itu kita nak beri dia cuti. Sementara dia bercuti, peguam cara negara boleh jalankan tugas dia," katanya pada sidang media yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Isnin.

Jelas perdana menteri, banyak tuduhan yang dilemparkan kepada Mohamed Apandi tetapi buat masa ini masih belum ada laporan rasmi dibuat terhadapnya .

Oleh itu, laporan polis harus dilakukan terlebih dahulu sebelum siasatan boleh dijalankan ke atasnya.

"Pada masa siasatan dibuat, tindakan boleh diambil untuk menjalankan sekatan ke atasnya termasuk sekatan keluar dari negara.

"Dia diberikan cuti berdasarkan laporan tidak rasmi itu," kata Dr Mahathir.

Mohamed Apandi dilaporkan memulakan tugas seperti biasa pada Isnin, hari kerja pertama selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan susulan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Rabu lalu.

"Ya, saya. Saya berada di pejabat sekarang menjalankan tugas seperti biasa," kata Peguam Negara itu ketika ditanya sama ada beliau lapor diri di pejabatnya.

Apandi Ali, Tun M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain