TAIPING: Umpama peluang kedua. Itu anggapan ibu bekas anggota Unit Tindakan Khas, Koperal Sirul Azhar Umar apabila kerajaan menyatakan kesediaan membuka semula kes kematian model Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang berlaku 12 tahun lalu. Piah Samat, 76, berkata, perkembangan terbaharu itu mungkin dapat merealisasikan impiannya melihat anak yang dirindui pulang dan menjejakkan kaki semula ke bumi Malaysia. Menurutnya, sejak ditahan di Pusat Tahanan Imigresen di Brisbane, Australia, tiga tahun lalu, Sirul Azhar tidak pernah mengabaikan keluarga dan sering menelefonnya bagi bertanya khabar. “Setiap hari makcik bayangkan dia ada di depan mata, tapi makcik tahu hakikat anak makcik tak lagi dibenarkan balik ke Malaysia. Dia juga rindukan makcik, setiap kali kami berhubung dia pasti akan bertanyakan kesihatan makcik, makcik makan apa. “Makcik harap sangat kerajaan sekarang boleh bawa dia balik,” katanya sambil menitiskan air mata. Piah yang ditemui di rumahnya berkata, meskipun keadaan kesihatannya kurang baik, tidak bermakna dia tidak mengikuti perkembangan kes anaknya itu. Katanya, dia juga maklum akan syarat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong yang dipohon anaknya itu. “Makcik amat berharap perkara tersebut boleh menjadi kenyataan dan kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan permintaannya itu,” katanya. Sirul Azhar yang didakwa atas pertuduhan membunuh antara jam 10 malam, 19 Oktober dan jam 1 pagi, 20 Oktober 2006 di Bukit Raja, Klang kini berada dalam tahanan Imigresen di Brisbane sejak 20 Januari 2015. Pada 19 Mei lalu, beliau menyatakan sedia membantu kerajaan Pakatan Harapan untuk mendedahkan apa sebenarnya berlaku berkaitan kematian wanita kelahiran Ulan Bator dengan syarat dia diberikan pengampunan penuh oleh kerajaan baru Malaysia. Tanpa pengampunan itu, dia tidak boleh dilepaskan dan pulang ke Malaysia. Piah berkata, sepanjang tiga tahun ini, dia berkesempatan bertemu anaknya itu, dua kali. “Makcik bersyukur dan gembira dengan keadaan dia di sana, dia baik-baik saja, tapi lebih baik kalau dia selalu ada depan mata,” katanya.-SinarHarian