suria

Bagi lah coklat kat abang, akak polis - Siti Kasim

Siti Kasim.

PETALING JAYA: Peguam dan aktivis, Siti Kassim berhasrat untuk memberikan coklat kepada anggota polis sempena kedatangan bulan Ramadan, berikutan pasukan keselamatan itu jarang diberikan penghargaan.

Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim turut menyeru rakyat Malaysia supaya melakukan perkara yang sama pada Sabtu ini (26 Mei) dari pukul 4 hingga 5 petang.

Acara itu dinamakan 'Jom Bagi Coklat Kat Abang & Akak Polis' dengan tanda pagar #chocs4cops yang kini tular di Facebook, dan ramai yang memberi sokongan kepada program itu.

"Saya rasa sudah tiba masanya melakukan sesuatu. Ini hanya isyarat. Kami hanya ingin menunjukkan penghargaan kami terhadap tugas yang telah mereka lakukan. Mereka tidak pernah mendapat penghargaan," kata Siti kepada The Star Online.

Siti sendiri akan memberikan coklat di balai polis Sentul di Kuala Lumpur berikutan beliau menetap di kawasan itu.

Beliau menggesa rakyat Malaysia lain untuk memberi coklat kepada balai-balai polis terdekat dengan mereka dan memuat naik gambar dan video pemberian itu di media sosial.

"Saya fikir mereka kadang-kadang diperlakukan tidak adil kerana beberapa salah laku segelintir polis tetapi majoriti mereka adalah orang yang sangat baik. Saya agak terkejut mengenai keadaan itu. Saya fikir ramai orang berpandangan yang sama mengenai bagaimana mereka dilayan," kata Siti.

Beliau menambah, idea tersebut susulan aduan terhadap polis baru-baru ini yang didakwa mengambil coklat di dalam peti sejuk di 'satu tempat'.

Ia merujuk kepada aduan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa beberapa anggota polis mengambil coklat dari peti sejuk di kediamannya ketika serbuan dijalankan berkaitan dengan kes 1MDB.

Siti Kassim

Artikel Sebelum

Artikel Lain