suria

Janda pemuzik terkenal tanah air serik masuk penjara

SERIK! Tempoh enam bulan dalam penjara umpama bertahun-tahun berada di 'neraka dunia', itulah yang diluahkan seorang wanita berusia 38 tahun.

Gia (bukan nama sebenar) sudi berkongsi kisah hidupnya untuk dijadikan pengajaran kepada mereka yang menjadi 'hamba dadah'.

Menurut wanita kelahiran Kajang, Selangor ini, dikurung di sebalik tembok besi sebagai tahanan reman selama enam bulan telah mengubah hidupnya.

"Cukuplah sekali. Saya tidak mahu kembali ke neraka itu lagi. Sengsara emosi dan fizikal," ujarnya memulakan bicara.

Mengimbas kembali perjalanan hidupnya, segala-galanya bermula apabila Gia terlibat dengan najis dadah sejak berusia 22 tahun.

"Mulanya hisap ganja kerana ikut 'trend'. Lama-kelamaan saya mula menghisap 'ice' atau syabu. Seronok lain macam walaupun hidup tidak terurus.

"Nak kata ada masalah keluarga ketika itu, tak juga. Hubungan dengan mak, ayah semua baik, malah adik beradik saya yang lain semuanya jadi 'manusia'.

"Mungkin pengaruh kawan-kawan yang sentiasa nak hidup 'enjoy'. Layan kepala.

"Sebelum itu, saya juga keluar masuk pusat pemulihan remaja sebab suka lari dari rumah. Tetapi itu pun sekejap sahaja sebab saya lari.

"Tahun 1998, saya ditahan sekali lagi di sebuah pusat pemulihan di Melaka dan kali ini saya menjadi budak baik.

"Saya dibebaskan awal setahun setengah berbanding tiga tahun untuk tempoh sepatutnya berada di situ," ujarnya kepada mStar Online.

Gia mununjukkan kesan atau parut ketika ditahan di Penjara Kajang selama enam bulan. 


Selepas itu, hidupnya melalui fasa baru apabila berasa 'seronok' kerana mempunyai teman lelaki.

"Kami hidup bersama lebih kurang lapan tahun. Dialah 'tok guru' dadah saya.

"Untuk tambah pendapatan membeli dadah, saya bekerja sebagai Gadis Pelayan Pelanggan (GRO) untuk menambah pendapatan membeli dadah. 

"Beberapa tahun kemudian, kami putus dan saya berkahwin dengan salah seorang pemuzik kumpulan rock terkenal tanah air.

"Kami hanya berkahwin empat tahun sahaja. Selepas itu bercerai kerana masing-masing ada 'dunia' sendiri. Jadi kami buat hal masing-masing," jelas anak keempat daripada enam beradik ini.

Selepas bergelar janda, Gia bertemu pula dengan seorang lelaki lain dan menjalin hubungan cinta.

"Sehinggalah pada September tahun lalu kami ditangkap di rumah dan polis turut menemui 'barang' di situ.

"Bermulalah episod sengsara saya. Saya memang tidak mengaku kerana ia memang bukan barang saya dan nasib baik kes dikira selesai memandangkan teman lelaki saya mengaku dadah itu miliknya.

"Sepanjang tempoh reman itu, hanya Tuhan yang tahu. Layanan yang diterima sangat dahsyat. 

"Makan bukan seperti yang dipamerkan di menu harian, semua ikut warden penjara. Kalau 'mood' baik dapatlah kami tenang sedikit.

"Tidur berbantalkan bekas makanan, tandas kadang-kala tak ada air. Memang azab," ceritanya lagi.

Gia sebelum ditahan di Penjara Kajang.

Malahan, dakwanya sindiran warden penjara sesuatu yang perlu dihadam setiap hari walaupun rata-rata tahanan belum tahu sama ada mereka dijatuhi hukuman salah atau sebaliknya.

"Yang peliknya, kalau pesalah negara luar, warden tidak berani melayan buruk kerana khuatir dilaporkan kepada kedutaan mereka," rugutnya.

Hidup dalam bilik jeriji besi seramai tujuh orang benar-benar menginsafkan Gia. Lebih-lebih lagi apabila ayah dan ibunya tidak pernah putus untuk datang melawat.

"Mereka sentiasa memberi sokongan kepada saya. Bercakap baik-baik dengan saya.

"Dan pada saat itu jugalah saya sedar bahawa ketika susah ini, tidak semua kawan yang ada.

"Ramai-ramai kawan ketika 'enjoy' dulu semuanya sudah hilang.

"Tetapi saya bernasib baik kerana hanya seorang kawan baik saya yang banyak menolong saya sepanjang berada di penjara. Dialah yang selalu datang melawat dan membawa ibu saya bersama, sediakan makanan atau keperluan lain.

"Malah dia jugaklah yang bertungkus-lumus bertemu peguam menyelesaikan kes saya.

"Akhirnya April lalu saya dibebaskan dan tidak bersalah. Syukur. Terasa seperti baru dilahirkan," ujarnya.

Gia memberitahu, sejak dibebaskan dia tidak lagi bertemu dengan kawan-kawan lamanya.

"Saya tidak lagi bertemu dengan kawan-kawan lama dulu. Saya takut jika diri saya belum kuat.

"Sekarang hidup saya lebih tenang, dekat dengan keluarga. Hubungan kami semakin rapat. Dan yang paling penting bulan Ramadan ini penuh bermakna bagi saya. Tidak pernah rasa bahagia dan tenang seperti ini.

"Saya menyesal terlalu lalai dahulu. Namun bersyukur kerana bilik berpagar besi itu telah mengajar saya jadi manusia.

"Cukuplah parut di buku lali yang saya dapat ketika di penjara itu sebagai kenangan untuk saya berubah," katanya sambil menambah parut tersebut akibat daripada terlalu lama duduk bersila ketika pengiraan harian oleh warden.

Selain itu, Gia memberitahu buat masa sekarang dia hanya ingin menjaga kedua-dua ibu bapanya sebaik mungkin.

"Keluarga tidak pernah menilai saya walaupun sebelum ini selalu menyusahkan hati mereka, terutama ibu bapa saya. Kalau boleh saya ingin dermakan buah pinggang saya untuk bapa saya. Tetapi dia menolak kerana katanya tidak perlu memandangkan sudah tua," jelas Gia sambil menambah bapanya mempunyai masalah buah pinggang sejak tiga bulan lalu.

GRO, dadah, janda, penjara