suria

Tanah Suci kian padat

LEBIH sejuta umat Islam membanjiri Tanah Suci Makkah dan Madinah bermula 1 Ramadan dan jumlah itu terus bertambah menjelang pertengahan bulan puasa dan meningkat pada 10 malam terakhir di bulan penuh mulia.

Suasana meriah dilalui setiap jemaah umrah selepas mengerjakan solat Asar dan kemuncak ibadat semakin dirasakan selepas iftar atau buka puasa di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Solat tarawih adalah aktiviti kemuncak terutama pada malam 27 Ramadan.

Penulis menerima kiriman video dan gambar terkini daripada sepupu, Adam Shahrir, yang melalui pengalaman pertama mengerjakan ibadat umrah pada awal Ramadan di Makkah dan Madinah, baru-baru ini. 

Menurutnya, pada awal Ramadan, jemaah tidak begitu ramai dan tawaf hanya 15 minit tetapi setelah beberapa hari di Makkah, jumlah jemaah kian bertambah dan tawaf menjadi kira-kira setengah jam selepas solat Asar. 

Lazimnya, tidak ramai jemaah bertawaf ketika masih panas terutama selepas Zuhur dan Asar apatah lagi dalam keadaan berpuasa.

Ketika itu, katanya, ramai jemaah dari Afrika Selatan, Maghribi, Algeria dan Turki di kota Makkah tetapi dua hari sebelum berangkat ke Madinah, jemaah Indonesia dan Malaysia pula bertambah.

“Iftar begitu meriah. Kadang-kadang saya berbuka di dataran Kaabah dan pernah berbuka di depan Hijir Ismail. Adakala saya berbuka di hotel penginapan yang tidak jauh dari masjid. Jika di dalam masjid, jemaah hanya berbuka dengan kurma, buah-buah kering, jus, laban dan air zamzam.

“Ramai yang memilih berbuka puasa di dalam masjid kerana di dataran masjid masih terasa bahang panas. Tidak kurang juga jemaah yang balik ke hotel penginapan selepas iftar dan solat Maghrib berjemaah kerana mahu menikmati hidangan di hotel,” katanya yang menunaikan umrah bersama-sama adiknya, Amir.

Menurutnya, tempat ziarah lengang kerana tidak ramai jemaah umrah memilih untuk menziarahi lokasi bersejarah yang masih boleh dikunjungi, seperti Hudaibiah, Jabal Rahmah, Jabal Thur, Jaaranah dan melalui kawasan di Arafah, Mina dan Muzdalifah.

Ketika di Madinah, Adam merebut peluang untuk berbuka di dalam dan di luar masjid untuk melalui kedua-dua pengalaman itu. Ternyata, kemeriahan berbeza ketika iftar di kedua-dua Tanah Suci namun hidangan iftar hampir sama.

Cabaran memasuki Raudah tidak dapat dilupakan kerana terpaksa menunggu lebih satu jam untuk bersolat di taman syurga dan memberi salam kepada Rasulullah S.A.W.

Ramadan, Madinah, Masjidil Haram

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ku Li calon Presiden Umno

Artikel Lain