suria

Kesian...Fahmi Reza kena 'cover' kes sendiri

PETALING JAYA: Aktivis Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin pelik dan hairan apabila perbicaraan kes karikatur badut bekas perdana menteri melibatkan dirinya tidak mendapat liputan meluas media.

Pemuda berusia 40 tahun itu meluahkan perkara itu menerusi laman Facebook miliknya ketika berada di Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes itu, pagi Isnin.

"Sebab tak ada seorang pun wartawan atau pihak media yang datang untuk cover perbicaraan kes aku pagi ni, aku akan cuba ambil nota dan laporkan sendiri apa yang berlaku dalam mahkamah hari ni.

"Kalau zaman Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) dulu sentiasa ada wartawan yang follow," tulisnya menerusi posting berkenaan.

Fahmi yang juga pereka grafik didakwa membuat penghantaran komunikasi palsu karikatur badut menyerupai Najib pada 8 Februari 2016 menggunakan Facebook secara sedar dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada Ahad, dia turut memuat naik imej Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju yang menjadi saksi utama dalam perbicaraan kesnya hari ini.

"Ini muka saksi utama untuk kes mahkamah aku esok.

"Sebenarnya aku excited juga nak mulakan perbicaraan pagi esok supaya dapat dengar keterangan Ali Tinju," tulisnya.

Pada 20 Februari lalu, dia dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memuat naik imej berkenaan menerusi akaun Facebooknya dua tahun lalu.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu terhadap Fahmi selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sementara menunggu rayuan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi.


Fahmi Redza, Najib, mahkamah

Artikel Berikut

Tanah Suci kian padat

Artikel Lain