suria

PAS ketandusan pemimpin, nak senang atas usaha orang lain - Mahfuz

Mahfuz (kiri) dan Mohd Amar.

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menyelar kenyataan yang dibuat rakan sejawatnya dari PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang secara terbuka menyatakan tidak kisah parti itu kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana negara ini terlalu banyak menanggung hutang.

ARTIKEL BERKAITAN: “Biar mereka bayar hutang, lima tahun lagi kita ambil Malaysia” – Mohd Amar

Mahfuz berkata, kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan itu memperlihatkan lemahnya jiwa dan betapa kerdil semangat PAS dalam menghadapi kemelut politik negara. 

Jelasnya, kenyataan Mohd Amar itu merupakan jawapan mengapa parti Islam itu gagal menguasai negeri-negeri di Pantai Barat dan hanya mampu mentadbir Kelantan dan Terengganu sahaja. 

“Mungkin daripada awal beliau dan pemimpin PAS sudah menghidu Pakatan Harapan (PH) akan memenangi Putrajaya, lalu PAS mengambil langkah bersendirian dan tidak mahu bergabung kerana takutkan kemenangan yang menjadi sebab PAS menanggung bebanan hutang negara.

“Saya amat hairan kenyataan seperti itu diungkapkan oleh seorang naib presiden sebuah parti Islam. Tidakkah ini mencerminkan pemimpin PAS berfikiran pasif dan hanya mahu mengambil kesempatan terhadap politik negara daripada pihak lain tanpa berusaha membantu menyelesai masalah negara yang kronik dan rumit sekarang,” kata Mahfuz dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mahfuz Omar. Foto Bernama

Menerusi video ucapan yang tular di media sosial, Mohd Amar memberitahu PAS mahu menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang, dan tempoh lima tahun itu memberi laluan kepada kerajaan baharu PH menyelesaikan hutang negara termasuk isu membabitkan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa hutang negara kini sudah mencecah angka lebih RM1 trilion seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Mohd Amar sepatutnya memberi cadangan kepada kerajaan PH mengenai bagaimana memulihkan ekonomi dan membayar hutang negara dan menghapuskan rasuah serta membebaskan semua agensi kerajaan yang berada di bawah tekanan selama ini.

Bagaimanapun katanya, PAS tidak tahu bagaimana menyelesaikan masalah negara dan tidak mahu menjadi sebahagian dari rakyat yang berusaha membangunkan negara.

Dalam keadaan rakyat banyak memberi input dan nasihat yang baik kepada kerajaan pasca PRU14, katanya, PAS pula mengambil sikap berlepas diri dan beretorik politik.

“Jika itulah kenyataan dan mentaliti pemimpin PAS, maka tidak hairan PAS tidak mampu melangkah jauh walaupun sudah berusia lebih 60 tahun,” katanya.

Mohd Amar Nik Abdullah.

Malahan katanya, keadaan itu menunjukkan PAS ketandusan pemimpin negarawan yang berjiwa besar dan memandang ke hadapan, dan sikap pemimpin parti yang masih berdelusi ini amat memalukan rakyat. 

“Kepada rakyat, ayuh kita bekerja bersama bagi membina semula negara, tinggalkan mereka yang hanya mahu bersenang-lenang dan hanya tahu mengambil kesempatan atas usaha kita bersama selama ini. 

“Nanti kita akan kenal siapa yang benar ikhlas bekerja untuk negara, dan siapa pula yang hanya mahu mengejar jawatan dan kedudukan untuk kepentingan diri,” kata Mahfuz.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain