PUTRAJAYA: Pengguna perlu memastikan barangan yang dibeli ditolak cukai enam peratus apabila cukai barang dan perkhidmatan ditetapkan pada kadar sifar bermula 1 Jun ini. "Kita telah mengumpulkan sampel harga barangan pra-sifar dan akan membandingkannya dengan harga pada 1 Jun untuk memastikan peniaga tidak mengenakan GST," kata Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Roslan Mahayudin. Tambah Roslan, peningkatan permintaan yang mendadak telah mengakibatkan kenaikan harga barangan keperluan. "Ini ditambah pula dengan pengeluaran yang lebih rendah, menyebabkan pengguna perlu membayar lebih banyak untuk barangan makanan tertentu," katanya. Beliau berkata, adalah trend peningkatan barangan meningkat pada awal Ramadan sehingga 50 peratus adalah normal berbanding hari biasa. "Bagaimanapun, pegawai kita terus memantau harga. Jika kenaikan adalah wajar, kita akan minta peniaga untuk menunjukkan dokumen tentang bagaimana mereka memperoleh harga jualan tersebut kepada kita," katanya pada Isnin. Roslan mengulas mengenai aduan terhadap harga barangan makanan seperti daging lembu, ayam dan sayur-sayuran. Beliau berkata, dengan ramai peniaga mahu mengusahakan perniagaan di pasar-pasar Ramadan denganmenjual biskut raya dan juga memasak untuk buka puasa, menyebabkan harga bahan makanan terbabit melonjak. "Tetapi bila Ramadan memasuki minggu kedua, kita melihat harga sekarang lebih stabil dan bekalan terhadap barangan tertentu berterusan," katanya.