PETALING JAYA: Media sosial kecoh apabila tular video seorang pegawai Imigresen bertindak memukul seorang pelanggan di kaunter jabatan itu. Video pendek berdurasi sembilan saat itu menunjukkan kepala seorang warga asing 'diketuk' oleh seorang pegawai lelaki menggunakan dokumen dipercayai pasport. Berdasarkan video yang tular juga, insiden yang berlaku di kaunter nombor 4 'permohonan 3+1' di sebuah cawangan pejabat Imigresen. Pegawai itu kemudian mengambil tangan warga asing berkenaan dan meletakkannya di sebuah peranti dipercayai mesin pengimbas cap jari biometrik. "Diam, diam, diam!," tengking pegawai itu kepada warga asing, sambil mengetuk peranti tersebut beberapa kali. Berdasarkan perkongsian video oleh seorang pengguna laman sosial Facebook, Kelvin Lim, insiden dipercayai berlaku di pejabat Imigresen di Johor Bahru. "Pekerja asing dilayan oleh pegawai imigresen Johor Bahru. Saya nak tanya pegawai itu, pekerja pun manusia juga. Sebagai kakitangan kerajaan imigresen... cara sikap macam ini adakah betul?," katanya dalam posting pada pagi Rabu. Setakat ini, video tersebut dikongsi lebih 200 kali dengan lebih 4,000 kali tontonan. mStar Online telah menghubungi Jabatan Imigresen dan sedang menunggu maklum balas. Sementara itu, bercakap kepada mStar Online, Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Datuk Rohaizi Bahari mengesahkan video yang tular itu berlaku di pejabat imigresen di Johor Bahru pada pagi Rabu. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan memberitahu kenyataan rasmi akan dikeluarkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.