PETALING JAYA: Kontroversi yang sering melanda peguam dan aktivis, Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim mendapat perhatian Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Beliau berkata, Siti Kasim menimbulkan kegelisahan banyak pihak berhubung cara dan apa yang dilakukannya. Sehubungan itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, pihaknya sedang mengaturkan satu dialog terbuka dengan Siti Kasim. "Ramai yang gelisah dengan cara dan apa yang dilakukan oleh seorang yang dikenali dalam media sebagai Cik Siti Kasim. Sikap beliau membimbangkan banyak pihak. "Atas asas pendekatan yang matang dan ilmiah, pihak saya dengan kerjasama One Centre Malaysia, Perlis dan Badan Peguam Perlis sedang mengatur satu dialog terbuka berkaitan Islam di Malaysia antara Ustaz Salman Ali dan Cik Siti Kasim," katanya menerusi status yang dimuat naik di Facebooknya pada Khamis. Dr Maza berkata, tarikh dan tempat dialog tersebut akan dimaklumkan kemudian sambil berharap agar ia dapat direalisasikan. "Tolong doakan agar dialog terbuka ini berjaya dilaksanakan nanti," tambahnya. Siti Kasim sebelum ini dilaporkan sering mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kontroversi terutama membabitkan Islam.