suria

Hishamuddin nafi muat naik artikel berbaur hasutan

Hishamuddin Rais. Foto IZZRAFIQ ALIAS/The Star

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial, Hishamuddin Rais menafikan beliau memuat naik artikel berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di blognya, Rabu.

Peguamnya, Zaid Malek berkata, Hishammuddin telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, petang Khamis dan mendakwa blognya telah digodam oleh pihak tertentu yang menulis dan menyiarkan artikel berkenaan.

“Susulan itu, polis memanggil Hishamuddin untuk memberi keterangan di Balai Polis Petaling di sini malam ini bagi membantu siasatan dan tiada tangkapan dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Zaid berkata, proses merekod keterangan itu mengambil masa selama 80 minit dan selesai pada jam 12 tengah malam Khamis.

Difahamkan Zaid menemani Hishamuddin ke balai polis itu kira-kira 10.30 malam setelah berhubung dengan pihak polis yang menyiasat dakwaan tersebut.

Pada Khamis, lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan  terhadap Hishamuddin yang didakwa memuat naik artikel berbaur hasutan tersebut.

Hishamuddin didakwa memuat naik artikel itu di blognya www.tukartiub.blogspot.com.  Bagaimanapun, Hishamuddin difahamkan memadamkan kenyataan itu selepas salinan tangkapan skrin mengenainya tersebar di laman sosial. - Bernama

Hishamuddin Rais

Artikel Lain