KANGAR: Perlis akhirnya akan memiliki barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu pada Rabu ini. Majlis angkat sumpah pelantikan Exco akan berlangsung di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau kira-kira pukul 11 pagi. Difahamkan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional yang tidak hadir majlis angkat sumpah Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar pada 24 Mei lalu sudah berdamai dengan beliau. Ketika mendedahkan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chuping, Asmaiza Ahmad berkata, kesemua Adun BN berkenaan telah membuat keputusan bersama untuk menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin dalam pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar. Katanya, keputusan itu yang sudah pun dibuat sebelum mereka diterima menghadap baginda di Istana Arau, adalah bagi menyelesaikan segera isu berkenaan demi kebaikan rakyat. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN yang dipertandingkan.