JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi Umno Johor Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berpendapat Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah calon yang paling layak mengisi jawatan presiden parti itu. Beliau berkata kesediaan dan keterbukaan Ahmad Zahid, yang menjalankan tugas-tugas Presiden, semasa kemerosotan Umno jelas menunjukkan beliau pemimpin berjiwa besar dan sanggup memikul tanggungjawab berat itu. "Anggota Umno sepatutnya melihat kepada kesedaran pemimpin yang sanggup memikul tanggungjawab yang amat berat ini, wajib mereka memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepadanya," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin. Abdul Latiff berpendapat Umno memerlukan pemimpin yang boleh memulihkan semangat juang parti dan melakukan rombakan revolusi secara besar-besaran untuk memastikan parti itu sentiasa bersama rakyat. "Ciri-ciri utama yang perlu ada dalam diri seorang Presiden Umno ialah berjiwa besar, taat setia, bijaksana, berhemah, dekat di hati ahli parti dan disenangi rakyat jelata. Inilah yang ada dalam diri Ahmad Zahid," katanya. Abdul Latiff berkata sikap berpuak-puak perlu ditolak dalam pemilihan kali ini dengan anggota parti perlu sedar tentang pentingnya parti mempunyai nakhoda yang bijak. "Saya menyokong sepenuhnya Ahmad Zahid sebagai Presiden Umno yang sudah tentu mempunyai perancangan dan hala tuju untuk merapatkan saf peringkat pertama ini," katanya. Dalam pada itu, Abdul Latiff yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata Umno Johor tidak membuat keputusan untuk menyokong mana-mana jawatan pelbagai peringkat termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden. - BERNAMA