suria

Elak pakai tudung corak 'dreamcatcher' cegah fitnah

KUALA LUMPUR: Memakai tudung bercorak ‘dreamcatcher’ iaitu simbol kepercayaan masyarakat Red Indian kini menjadi trend wanita Islam di negara ini.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui tulisannya di laman rasmi Mufti Wilayah berkata, umat Islam dinasihat lebih berhati-hati bagi mengelakkan timbul fitnah ke atas orang yang menjual dan memakainya.

"Lebih baik memilih alternatif lain yang tidak mengandungi apa-apa kontroversi adalah lebih baik dan lebih selamat,"katanya.

Beliau menjelaskan, dalam Islam terdapat larangan menyerupai pakaian orang kafir.

"Kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti agama mereka.

Berdasarkan penelitian ulama, terhadap nas al-Quran dan al-Sunnah, salah satu bentuk penyerupaan dengan orang kafir yang dilarang ke atas umat Islam adalah pada pakaian,” katanya.

Bagaimanapun, pendapat mazhab Hanafi, Maliki dan jumhur mazhab Syafie, menyerupai pakaian yang menjadi syiar orang kafir hukumnya kafir.

"Kerana itu, sesiapa yang memakai topi orang Yahudi dengan sengaja maka ia kufur kecuali jika dipaksa atau memakainya sekadar untuk berlindung daripada kepanasan.

Begitu juga orang yang memakai pakaian khas paderi Kristian, ia dihukumkan kafir kecuali jika memakainya sebagai helah dalam peperangan, maka ia tidak dihukumkan kafir,"katanya.

Namun, sesetengah ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie mengatakan, sesiapa mengenakan pakaian khas orang kafir, tidak jatuh kafir kecuali jika ia beriktikad dengan iktikad kufur tersebut.

Tetapi, mazhab Hanbali pula, mengatakan haram memakai pakaian bukan Islam yang merupakan syiar agama mereka.

Bagaimanapun terdapat juga pendapat memakai tudung bercorak ‘dreamcatcher’ tidak sampai ke tahap menyerupai agama lain kerana ia tidak pernah menjadi pakaian khas merujuk kepada agama lain seperti salib. - Sinar Online

tudung, dreamcatcher

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain