suria

Najwa tak balik raya!

An Najwa Azizan.

RATU bola jaring negara, An Najwa Azizan yang melebarkan sayap dalam bidang yang diminatinya di Australia kini melalui pengalaman berbeza pada Aidilfitri kali ini.

Najwa, 21, yang memainkan peranan besar ketika membantu Malaysia muncul juara Sukan SEA 2017 akan beraya di perantauan buat pertama kalinya.

Goal Shooter (GS) bola jaring negara ini berkata, dia tidak dapat pulang beraya bersama keluarga kerana komitmen bersama Kelab Bola Jaring GWS (Greater Western Sydney) Fury yang berpangkalan di New South Wales, Australia.

"Saya tak balik raya kali ini sebab season dah mula. Setakat ini dah lepas dua perlawanan dan kedua-duanya menang. Insya-Allah ada lagi dalam 16 perlawanan perlu diharungi," katanya kepada mStar Online.

Najwa mengakui agak sedih kerana tidak dapat merasai suasana raya seperti di Malaysia.

"Perasaan memang sayu sikit sebab tak dapat nak berkunjung ke rumah kawan-kawan. Nak buat macam mana kan, kena terima dengan hati yang terbuka," katanya.

Bagaimanapun, perasaan sedih anak kelahiran Selangor itu sedikit terubat apabila tiga ahli keluarganya akan datang ke Australia pada hari pertama Syawal nanti.

Gambar kenangan Aidilfitri Najwa bersama keluarga pada tahun lalu. Foto IG An Najwa.

"Ibu, abang dan adik saya nak datang, jadi tak adalah sayu sangat nanti. Mereka dah tahu dari awal saya tak balik raya, jadi mereka beli siap tiket untuk datang ke sini," katanya.

Ditanya mengenai persiapan beraya di perantauan, Najwa berkata dia tidak melakukan sebarang persediaan untuk Aidilfitri kali ini.

"Tak ada persiapan apa-apa. Saya hanya tak sabar untuk tunggu mama, abang dan adik dekat lapangan terbang pada raya pertama nanti," katanya.

Bagaimanapun, Najwa mengakui amat merindui semua jenis makanan yang ada di Malaysia ketika ini.

"Sekarang saya dalam strict diet sebab tengah game season. Tapi time raya nanti boleh kot cheat day sehari.

"Insya-Allah, mama akan bawa makanan raya ke sini nanti," katanya.

Mengenai pengalaman raya semasa kecil, Najwa berkongsi kisah bertempiaran lari masuk ke rumah selepas didatangi kereta peronda polis ketika sedang leka bermain mercun dan bunga api.

"Saya, adik-beradik dan kawan-kawan satu taman main mercun dan bunga api di depan rumah. Lepas tu tiba-tiba ada kereta polis datang senyap-senyap dan tutup lampu siren.

Najwa bermain dalam liga amatur bersama Kelab Bola Jaring GWS (Greater, Western Sydney) Fury di Australia sejak Februari lalu.

"Apabila dah dekat dengan kami, lampu siren tiba-tiba menyala. Apa lagi kami semua pun bertempiaran lari masuk ke rumah saya.

"Tapi yang kelakarnya, ada yang tak sempat nak lari, jadi mereka terpaksa menyorok di dalam longkang," katanya.

Najwa memberitahu dia akan pulang ke tanah air pada September nanti.

"Saya akan pulang ke tanah air andai diberi peluang untuk sarung jersi Malaysia bagi Kejohanan Bola Jaring Asia di Singapura pada September nanti.

"Selepas itu saya akan kembali semula ke Australia untuk habiskan season dan kontrak yang akan berakhir pada hujung bulan tersebut (September)," katanya.

Najwa memahat sejarah baharu sukan bola jaring negara apabila muncul pemain pertama yang beraksi dalam liga luar negara.

Namanya disarankan oleh jurulatih skuad juara Sukan SEA negara, Tracey Robinson tanpa perlu melalui sebarang proses saringan awal.

An Najwa Azizan, Aidilfitri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain