suria

Trafik perlahan di lebuh raya utama

Aliran trafik dilihat terkawal dan semakin bertambah berikutan warga kota mula pulang ke ibu kota selepas menyambut Aidilfitri ketika tinjauan di sekitar Lebuhraya Persekutuan pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara perlahan namun lancar berikutan orang ramai mula pulang semula ke kediaman masing-masing setelah bercuti di kampung halaman bagi menyambut 1 Syawal pada Jumaat lepas.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad memberitahu Bernama setakat 1 tengah Isnin, aliran trafik di kedua-dua arah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dilaporkan perlahan dan terkawal.

Beliau berkata, perjalanan dari utara bergerak perlahan, iaitu Pendang menuju ke kawasan Rehat dan Rawat (R and R) Gurun berikutan kemalangan di kilometer 68.7 yang melibatkan dua kereta.

Tambahnya, pergerakan dari Bukit Beruntung ke Sungai Buaya dan Ipoh ke Simpang Pulai juga agak perlahan ekoran pertambahan kenderaan di lebuh raya.

Selain itu, trafik turut dilaporkan perlahan dari Sedenak ke Simpang Renggam dan terdapat satu kemalangan melibatkan kenderaan berat di kilometer 208.4, Ayer Keroh ke Simpang Ampat, Melaka.   

Sementara itu, menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), trafik dilaporkan lancar dan terkawal bermula Kuantan menuju ke Bentong melalui Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) manakala Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) juga bergerak lancar dari Kuala Terengganu ke Kuantan termasuk trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), bermula dari Bentong ke Gombak.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di talian 1800-88-7752 atau merujuk laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik dan www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama

PLUS, LLM, trafik

Artikel Lain