SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih berahsia mengenai pengganti beliau. Pada Isnin, beliau menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mempersembahkan calon Menteri Besar yang baharu di Istana Bukit Kayangan. Menurutnya, satu nama telah dipilih bagi menyandang jawatan tersebut. "Calon merupakan nama yang dipersetujui oleh pucuk pimpinan PKR untuk dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Selangor. "Menteri Besar Selangor yang baharu akan diketahui esok. Calon adalah orang Malaysia," selorohnya sewaktu ditanya media mengenai calon samaada datang dari kalangan orang muda atau yang lebih berpengalaman. Terdahulu, Mohamed Azmin tiba di Istana Bukit Kayangan jam 10.47 pagi menaiki kenderaan rasmi kerajaan negeri. Beliau menghadap Sultan Selangor lebih satu jam sebelum meninggalkan pekarangan istana jam 12 tengah hari. Jelasnya, pertemuan dengan Sultan Selangor pada hari ini bukanlah yang terakhir. "Saya akan menghadap Sultan Selangor lagi pada hari esok sebagai mesyuarat terakhir," katanya yang tidak memberikan petunjuk Menteri Besar dalam kalangan Exco yang telah dilantik atau sebaliknya. Beliau juga memaklumkan tiada maklumat mengenai raptai Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar di Istana Alam Shah Klang yang sepatutnya berlangsung pada Isnin. Terdahulu seawal jam 9 pagi media telah berkumpul Istana Alam Shah bagi mengetahui muka baharu yang bakal mengisi jawatan Menteri Besar. Nama yang menjadi sebutan menggantikan Azmin adalah Adun Ijok, Dr Idris Ahmad, Adun Sungai Tua, Amirudin Shari dan Adun Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin. Tumpuan media bertukar ke Istana Bukit Kayangan selepas menerima maklumat Mohamed Azmin Ali menghadap Sultan Selangor, di sini. - Sinar Harian