PETALING JAYA: Bapa kepada model warga Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu, akan bertemu dengan Perdana Menteri pada Rabu. Peguam keluarga tersebut, Ramkarpal Singh mengesahkan Dr Setev Shaariibuu akan bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad kira-kira pukul 5 petang di Putrajaya. Dr Setev akan bertemu Peguam Negara Tommy Thomas pada pukul 3 petang Selasa bagi membincangkan kemungkinan membuka semula kes pembunuhan anaknya. Bulan lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis tidak menemui sebarang bukti lain untuk membuka kembali siasatan pembunuhan itu. Mei lalu, Presiden Mongolia, Khaltmaagiin Battulga berharap Dr Mahathir dapat melihat kembali kes pembunuhan Shariibuu Altantuya yang berlaku pada Oktober 2006, dan sehingga kini masih belum diselesaikan sepenuhnya. Pada 23 Ogos 2013, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan bekas Unit Tindak Khas (UTK) Sirul Azhar Umar sebagai tertuduh kedua dan bekas anggota unit selam tempur UTK, Azilah Hadri (tertuduh pertama) selepas berpuas hati bahawa tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009. Bagaimanapun pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-dua tertuduh berkenaan selepas membenarkan rayuan pendakwa raya dalam kes itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan. Tertuduh didakwa membunuh wanita kelahiran Ulan Bator berusia 28 tahun itu antara jam 10 malam, 19 Oktober dan jam 1 pagi, 20 Oktober 2006 di Bukit Raja, Klang.