PENGIKUT setia Chef Adam Mahamed Ismail di Instagram pasti tidak ingin melepaskan peluang untuk menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri personaliti laman sosial tersebut. Jangan bimbang, Adam atau lebih senang disapa Adamdidam ini menganjurkan rumah terbuka seperti selebriti lain, cuma ia diadakan jauh di bumi Birmingham, United Kingdom (UK). Adamdidam bukan membawa diri, tetapi ia sudah menjadi kebiasaan baginya untuk menyambut 1 Syawal bersama keluarga terdekat yang sudah lama menetap di negara itu. Bagi Adamdidam, tiada apa yang lebih bermakna baginya selain dapat meluangkan masa bersama sanak-saudara walau di mana mereka berada. "Memang dah rancang nak buat rumah terbuka tahun ini di UK, cuma di sana hari raya pun hari bekerja. "Kalau cuti semua orang diluluskan, dapatlah buat rumah terbuka pada hari raya pertama yang jatuh pada Jumaat. "Kalau tidak, terpaksalah buat pada raya kedua (Sabtu)," katanya kepada mStar Online. Suasana sambutan Aidilfitri di Birmingham. - Birmingham Mail UK Kongsi Adamdidam, suasana malam raya di Birmingham membuatkan beliau berasa umpama berada di Jeddah atau Makkah memandangkan ramai orang Arab dan Pakistan keluar membuat persiapan menyambut Syawal di bandar itu. "Di sini padat sebenarnya, kalau keluar malam raya, semua Arab dan Pakistan akan penuh dalam pusat beli-belah di Birmingham. "Memang rasa seperti kita berada di Jeddah atau Makkah. Mereka akan keluar buat inai, tepi-tepi jalan pun akan penuh. "Perasaan kita masa tu macam bukan duduk di UK. Mat Salleh pun dah kurang nampak masa ni," katanya. Namun bagi Adamdidam, jika diberi pilihan, beliau lebih gemar menyambut Syawal di Kelantan kerana rindu untuk mendengar takbir pada malam raya. Katanya, kebanyakan umat Islam di Birmingham tidak mengalunkan takbir raya memandangkan pegangan mazhab yang berbeza. Adamdidam rindu untuk dengar takbir pada malam raya. - Instagram Adamdidam "Saya rindu takbir raya sebab sini mazhab lain, jadi mereka tiada takbir raya macam kita di Malaysia... takbir sendiri-sendiri je, tak dialunkan dengan kuat," jelasnya. Adamdidam juga meraikan 1 Syawal dengan anak-anak saundaranya yang juga merupakan personaliti media sosial iaitu Omar, Fatimah dan Ali. Menurut jejaka berusia 28 tahun itu, mereka sekeluarga akan meraikan Aidilfitri dengan cara yang sederhana tanpa baju raya baharu, mahupun duit raya. Kata Adamdidam, sudah menjadi tradisi keluarganya untuk tidak mendidik anak-anak dengan cara begitu supaya mereka tidak membazir atau membanding-bandingkan jumlah duit raya yang diterima daripada si pemberi. "Tak dinafikan lebih senang nak didik mereka dengan cara begitu kerana suasana dan budaya di sini dan itu didikan ibu bapa saya sejak kami kecil, bukan wajib untuk ada baju raya atau perabot baru. "Erti raya sebenar adalah memberi kepada mereka yang kurang bernasib baik," tambah Adamdidam.