suria

Hidup saya hancur - bapa Altantuya

KUALA LUMPUR: Selepas mengharungi penderitaan selama 12 tahun, Dr Setev Shaariibuu mahu menuntut keadilan ke atas kematian anak perempuannya, Altantuya Shaariibuu, model warga Mongolia yang dibunuh pada 2006.

"Saya menderita sejak 12 tahun lalu. Kehidupan saya telah hancur seolah-olah dimusnahkan oleh tsunami," katanya menerusi penterjemah pada sidang media Selasa.

Dr Setev berkata beliau tidak menerima keadilan sebelum ini dan mendakwa pentadbiran terdahulu melakukan segala-galanya untuk mengelak kebenaran daripada terbongkar.

Ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan Dr Mahathir, Dr Setev berkata beliau difahamkan perdana menteri sedang memberi tumpuan kepada kes itu.

'Saya tidak fikir peluang ini akan datang bahawa perdana menteri akan menyambut kehadiran saya.

"Kami berada di garisan permulaan sekarang dan kami akan lihat apa yang akan berlaku," katanya.

Dr Setev kini menjaga dua anak lelaki Althantuya yang masing-masing berusia 14 dan 20 tahun.

Ketika ditanya mengenai khabar angin bahawa beliau dibayar sejumlah wang oleh seorang ahli politik terkemuka untuk menutup kes itu, Dr Setev menafikan dakwaan tersebut.

"Saya pernah terdengar khabar angin tapi ia tidak benar," katanya.

Dr Setev akan bertemu Dr Mahathir esok.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain