PETALING JAYA: Calon Presiden Umno, Khairy Jamaluddin berkata, masa depan Barisan Nasional (BN) perlu diberikan perhatian selepas pemilihan Umno akan datang. Beliau berkata, Umno tidak boleh bertahan bersendirian tanpa satu platform politik yang kuat. "Sekiranya saya dipilih sebagai Presiden (Umno), saya akan bertemu dengan parti-parti komponen untuk memahami apakah hala tuju mereka. Apa yang tinggal bagi Barisan Nasional? "Kita tidak boleh 'survive' Umno sahaja, kita mesti ada platform politik berbilang kaum," katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur, petang Rabu. Khairy berkata, BN akan diberi tumpuan sebaik sahaja kepimpinan baharu Umno telah dimuktamadkan. "Sama ada ia akan dipanggil Barisan Nasional atau nama baharu, kita mesti bekerjasama dengan parti-parti komponen lain," katanya. Ahli Parlimen Rembau itu memberitahu, beliau mahu mengembalikan Umno sebagai parti yang mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat. Beliau menambah, Umno harus dilihat sebagai parti yang boleh menjalankan tugas pembangkang yang berwibawa. "Supaya suatu hari nanti, Umno bukan sahaja dilihat sebagai parti pembangkang yang berwibawa tetapi satu pilihan alternatif kepada kerajaan sedia ada," katanya. Khairy berkata, Umno bukan sahaja dinilai oleh anggota parti dalam pemilihan kali ini, tetapi rakyat mahu melihat perubahan yang bakal dilakukan oleh Umno. "Rakyat nak lihat sama ada Umno dapat membawa satu pembaharuan dan perubahan yang besar atau tidak. Ini mestilah bermula dari pemilihan pemimpin-pemimpin yang akan menerajui parti Umno," katanya. Sehubungan itu, dalam tempoh 10 hari menjelang pemilihan parti 30 Jun ini, Khairy akan mengumumkan satu persatu manifesto dan idea baharu dalam membawa perubahan kepada Umno, demi mengembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat kepada parti itu.