suria

BN bakal ada Kabinet bayangan?

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin merancang untuk membentuk Kabinet bayangan di bawah Barisan Nasional (BN).

Calon Presiden Umno itu berkata, ia merupakan antara perkara pertama yang akan dilakukannya sekiranya dipilih memegang jawatan nombor satu parti itu.

"Antara tugas presiden adalah saya akan membentuk Kabinet bayangan dalam masa terdekat...sebelum persidangan di Parlimen bermula pada Julai ini.

"Menteri bayangan ini adalah 'bayangan' kepada menteri-menteri di bawah Pakatan Harapan (PH)," katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur, petang Rabu.

Khairy berkata, setiap menteri bayangan tersebut akan diberikan tugas untuk memastikan setiap menteri di pihak kerajaan baharu di bawah PH bertanggungjawab.

"Ini bukan hanya usaha untuk menampakkan Barisan Nasional, Umno sebagai pembangkang berwibawa tetapi juga ia menunjukkan langkah pertama yang akhirnya memperlihatkan kita sebagai alternatif yang boleh dipercayai kepada kerajaan hari ini," katanya.

Sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Ke-14 dijadual bermula pada 16 Julai  depan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pada sesi pertama, Dewan Rakyat akan bersidang selama 20 hari.


Artikel Lain