suria

KJ cadang Naib Presiden Umno wanita, Sabah

Khairy Jamaluddin.

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin mencadangkan tambahan dua jawatan bagi naib presiden Umno, iaitu mewakili golongan wanita dan wakil dari Sabah.

Khairy berkata, pertimbangan untuk kepimpinan tertinggi parti itu merupakan cadangan beliau sekiranya dipilih sebagai presiden Umno.

Umno sebelum ini memperuntukkan tiga tempat untuk jawatan naib presiden.

"Kewujudan dua lagi jawatan naib presiden Umno, satu yang dikhaskan untuk golongan wanita.

"Hari ini, seolah-olah ada 'halangan' untuk wanita...Ketua Wanita Umno sahaja," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Khairy berkata, naib presiden wanita ini adalah pemimpin di peringkat pusat meskipun parti mempunyai ketua bagi sayap Wanita.

"Anda masih mempunyai ketua Wanita yang akan menjaga sayap, tetapi seorang boleh bertanding sampai peringkat naib presiden.

"Dan dia boleh jadi pemimpin kebangsaan, boleh merasmikan mesyuarat bahagian bukan hanya Wanita saja. Dia juga berpotensi untuk menjadi timbalan presiden atau presiden parti," katanya sambil menambah cadangan itu dapat membantu mempercepatkan sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam kepimpinan di arus perdana.

Mengenai jawatan naib presiden bagi Sabah, Khairy berkata, ia bagi menjaga kedudukan Umno dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

"Dalam kerangka Umno, kita memberi kebebasan kepada Umno Sabah untuk menentukan pengerusi (badan) perhubungan dan supaya Sabah itu diwakili oleh naib presiden iaitu peringkat tertinggi parti bagi menjaga kepentingan Umno dan BN di Sabah," katanya.


Khairy Jamaluddin

Artikel Lain