PETALING JAYA: Biarpun Malaysia gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018, sekumpulan anak muda tempatan tetap bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang di temasya berprestij itu. Berangkat ke Rusia pada 10 Jun lalu, Suniljit Singh, 27, Palvinder Singh, 28 dan Sri Gurveer Singh, 25, turut membawa bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR). "Seronok dapat datang ke Rusia walaupun Malaysia tidak bertanding. Ramai yang berkumpul di kejohanan ini kerana semangat cintakan negara masing-masing, jadi kenapa tidak kami? "Dengan semangat Malaysia Baharu, kami bangga dengan perubahan yang berlaku di negara kita. "Sebab itulah kami hadir membawa Jalur Gemilang dan bendera PKR pada kejohanan bola sepak terbesar di dunia ini," kata Suniljit ketika dihubungi mStar Online, Rabu. Berkongsi nada serupa, Palvinder berkata, dia begitu bangga apabila ramai yang mendekati mereka untuk bertanya mengenai Jalur Gemilang dan merakam foto kenangan bersama bendera itu. Selain Suniljit, Palvinder dan Gurveer, mereka turut bertemu dengan dua kumpulan rakyat Malaysia yang turut berada di sana. Menurut Suniljit yang bekerja sebagai jurutera projek di Kuala Lumpur, mereka akan berada di sana sehingga perlawanan akhir nanti. Selain Rusia, mereka juga akan meneruskan perjalanan membawa bendera keramat itu ke Sepanyol, Perancis dan Jerman. "Bukan sahaja menyaksikan perlawanan bola sepak, malah kami juga teruja untuk melawat bangunan-bangunan bersejarah negara itu. "Saya juga teringin untuk belajar bahasa Rusia jika ada yang sudi untuk ajar, agak sukar untuk berkomunikasi di sini," ujar Suniljit dalam nada berseloroh. Menurut pemuda itu lagi, mereka sudah merancang percutian itu sejak tahun 2015 lagi. Tambahnya, dia tidak mahu melepaskan peluang kerana ia mungkin tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang. "Saya beritahu diri sendiri yang ini mungkin akan menjadi pengalaman sekali seumur hidup sahaja. Jadi kami nekad meneruskan rancangan ini. "Kos penerbangan dan penginapan pula sekitar RM15,000 hingga RM18,000 setiap seorang," ujarnya lagi. Setakat ini, mereka sudah menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan negara Perancis menentang Australia di Kazan Arena dan Jerman menentang Mexico di Stadium Luzniki.