suria

Debat: KJ OK, tapi Zahid...

KUALA LUMPUR: Dua calon Presiden Umno, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi respons berbeza mengenai cadangan debat oleh seorang lagi calon, Tengku Razaleigh Hamzah.

Khairy dalam sidang media di Menara Dato' Onn berkata, beliau bersedia berdebat pada bila-bila masa.

"Ini pemilihan dalam keluarga, jadi ada yang kata tak perlu debat. Tetapi kenapa tidak?

"Sebab rakyat pun nak tengok. Debat ini boleh kuatkan lagi budaya demokrasi bukan hanya dalam Umno tetapi politik Malaysia," katanya.

Beliau turut berharap debat dapat membincangkan masa depan Umno agar diterima rakyat.

"Debat ini juga boleh buktikan kepada rakyat bahawa calon diuji dan diukur mengikut pemikiran, idea dan kesungguhan mereka untuk menawarkan satu visi yang jelas," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika ditemui di majlis rumah terbuka anjuran Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) enggan mengulas mengenai cadangan tersebut.

"Saya tak mahu bercakap mengenai perkara ini sekarang. Tunggu ucapan saya nanti," katanya.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin itu sempat beramah-mesra ketika bertembung di majlis rumah terbuka tersebut.

Pada Selasa, Tengku Razaleigh menyatakan kesediaan berdebat dengan Khairy dan Ahmad Zahid bagi menjawab semua persoalan yang berbangkit.

Menurut Tengku Razaleigh, beliau bersedia untuk menjawab apa sahaja pertanyaan dari dua lagi calon Presiden Umno itu atau wakil mereka dalam sesi debat tersebut.

Beliau juga berharap Ahmad Zahid dan Khairy sanggup untuk berdebat dan memberi penjelasan isu dibangkitkan. - Sinar Online

Artikel Lain