ALOR SETAR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta anggota keluarga pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) petang Rabu. Ketua Umno Bahagian Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata, Najib sekeluarga berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 3.30 petang. “Delay (lewat) sikit dari jam 3,” katanya ringkas melalui pesanan aplikasi WhatsApp kepada Bernama. Nawawi berkata, beliau bersama anggota jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Langkawi yang lain turut serta menghantar Najib dan keluarga berlepas pulang. Bekas perdana menteri itu tiba di lapangan terbang itu lebih kurang 8 malam, Sabtu lalu untuk bercuti di pulau berkenaan. Ketibaan Najib sekeluarga itu tular di media sosial dengan dakwaan kononnya mereka ingin melarikan diri ke negara mentua anak perempuannya di Almaty, Kazakhstan setelah mereka dilihat membawa 30 beg. Najib yang kini dalam siasatan pihak berkuasa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beberapa kes berkaitan dilarang ke luar negara. - Bernama