suria

Ahli Parlimen Bagan Serai keluar Umno, BN

Gambar fail Noor Azmi Ghazali.

BAGAN SERAI: Anggota Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada Ahad mengumumkan keluar Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang memenangi kerusi Parlimen itu atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti 172 undi, turut mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kepimpinan Pakatan Harapan serta Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

"Buat masa ini saya menjadi anggota Parlimen bebas...dan insya-Allah akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)." katanya dalam sidang media di sini, Ahad.

Katanya, beliau membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira kepentingan rakyat yang diwakilinya serta demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) berjanji akan terus memperjuangkan isu-isu rakyat.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan Dr Noor Azmi keluar parti setelah rakyat memilihnya pada PRU14.

"Saya harap Dr Noor Azmi mengosongkan kerusi Parlimen yang dimenanginya pada PRU14 bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan," katanya. - Bernama

Noor Azmi Ghazali

Artikel Lain