suria

Segak berbaju Melayu, songkok masuk kolam pancing

PADANG BESAR: Walaupun masih lagi dalam mood beraya namun ia bukan halangan buat 30 kaki pancing di sekitar Perlis meneruskan hobi mereka.

Salah seorang admin Perlis Caster, Paisol Saaban, 38, berkata, kali ini mereka menganjurkan Komplot Silaturahim Aidilfitri di Empangan Timah Tasoh dengan tema baju Melayu.

Katanya, walaupun masih sibuk beraya, namun aktiviti ini mendapat sambutan menggalakkan daripada ahli Perlis Caster dan juga rakan yang turut berkongsi hobi dari Terengganu dan Pulau Pinang.

“Alhamdulillah, satu kenangan yang sangat manis buat kami semua, apatah lagi semua peserta turut memakai pakaian mengikut tema, iaitu berbaju Melayu dan bersongkok,” katanya.

Menurutnya, komplot ini lebih kepada acara santai di samping untuk merapatkan hubungan sesama rakan memancing.

“Memandangkan kehangatan Aidilfitri masih terasa, jadi kita adakan sekali rumah terbuka Perlis Caster.

“Selain memancing boleh juga kita nikmati kuih raya dan juadah yang disediakan sambil bermaaf maafan,” katanya.

Paisol berkata, ini tahun kedua mereka mengadakan komplot Aidilfitri.

“Tahun lepas kita anjur komplot sekali dengan gotong-royong jiwa murni, tujuannya untuk bersihkan kawasan memancing.

“Ini supaya kami dapat meneruskan hobi dalam suasana yang bersih dan alam sekitar yang tetap terpelihara.

“Insya-Allah, aktiviti sebegini kita akan teruskan di masa-masa akan datang, kerana memancing bukan sahaja hobi, tetapi suatu persaudaraan,” katanya.




pancing, baju Melayu, Perlis

Artikel Berikut

Artikel Lain