suria

Nilai rampasan milik keluarga Najib lebih RM1 bilion

PETALING JAYA: Nilai keseluruhan wang tunai, barang kemas, jam tangan dan beg berjenama dipercayai milik keluarga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dirampas di enam lokasi penggeledahan mencecah lebih RM1 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mendedahkan nilai sebenar keseluruhan rampasan itu dalam satu sidang media di Bukit Aman pagi Selasa.

"Jumlah keseluruhan mencecah RM900 juta hingga RM1.1 bilion... semua sekali dari enam lokasi penggeledahan. Ini termasuk wang tunai, barang kemas, jam tangan dan juga beg tangan," katanya.

Menurut beliau, daripada 72 beg yang dirampas, 25 daripadanya mengandungi kira-kira 12,000 barang kemas.

"Daripada 12,000 barang kemas itu, 1,400 adalah rantai, 2,200 cincin, 2,100 gelang, 2,800 subang, 1,600 kerongsang dan 14 tiara.

"Jumlah harga barang sahaja bernilai RM440 juta tidak termasuk kos tukang upah dan pembuatan barang tersebut.

"Pakar menyatakan bahawa harga pasaran adalah 50 hingga 100 peratus lebih dengan mengambil kira kos tukang dan juga reka bentuk.

"Maka dengan tambahan 50 hingga 100 peratus lebih, harga pasaran bagi barang kemas itu mencecah RM660 juta atau RM880 juta," katanya.

Bagi 567 beg tangan dari lebih 37 jenama yang dirampas, Amar Singh berkata keseluruhan barangan bernilai RM51.3 juta.

"Kami ambil masa lapan hari untuk mengira nilai beg tersebut. Beg tangan yang dirampas itu terdiri daripada Hermes, Prada, Channel dan pelbagai jenama lain.

"Ini termasuk beg jenama Bijan, beg mewah yang direka khas dengan ada yang berharga RM1.6 juta setiap satu," katanya.

Beliau berkata, sebanyak enam beg lagi mengandungi 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta membabitkan lebih 100 jenama.

"Ada lebih 100 jenama... paling banyak Rolex dan Chopard. Kami ambil masa tiga hari untuk buat pengiraan nilai barangan ini," katanya.

Dalam pada itu, bagi barang rampasan dari tiga beg mengandungi sebanyak 234 cermin mata.

"Keseluruhan cermin mata itu bernilai sebanyak RM374,000 dari jenama Versace, Gucci, Dior dan Cartier," katanya.

Malah, beliau berkata Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor turut akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berkaitan rampasan tersebut.

"Mereka akan diambil keterangan dalam masa terdekat. Kami perlu sahkan siapa pemilik barang tersebut terlebih dahulu kerana saya percaya ada laporan polis dibuat mengenainya," kata Amar Singh.

Ditanya mengapa berlaku kelewatan dalam memanggil Najib dan Rosmah, beliau berkata mereka perlu memanggil individu yang menghadiahkan beg tangan tersebut terlebih dahulu.

"Kami perlu sahkan dengan mereka terlebih dahulu (individu lain) kerana ada tertera perkataan hadiah pada beg tangan itu. Kemudian baru kita akan panggil Najib dan Rosmah untuk pengesahan," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Amar Singh berkata lebih 30 keterangan sudah diambil berkaitan kes 1MDB.

"Kita ambil keterangan daripada lebih 30 individu setakat ini," katanya.

rampasan, Najib Tun Razak, 1MDB

Artikel Lain