KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada Rabu menjatuhkan denda RM25 terhadap dua guru tari warga China kerana berkelakuan tidak sopan di atas tembok Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabtu lalu. Majistret Cindy Balitus menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua wanita berumur 25 dan 37 berkenaan mengaku bersalah berkelakuan tidak sopan di atas tembok masjid Sabtu lalu, kira-kira pukul 4 petang. Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah kerana berkelakuan tidak sopan di kawasan awam. Kedua-dua mereka membayar denda tersebut dan dibebaskan sebelum kembali ke China pukul 8 malam Rabu. Sabtu lalu, video berdurasi sembilan saat yang memaparkan dua wanita menari di atas tembok pagar masjid viral di media sosial mendapat kecaman netizen. Berikutan kejadian itu pihak pengurusan tertinggi masjid mengambil keputusan untuk melarang pelancong melawat masjid itu buat sementara waktu berkuat kuasa serta merta. Polis menahan kedua-dua wanita berkenaan pada Rabu (27 Jun) kira-kira pukul 11 pagi di lobi sebuah hotel berikutan laporan polis dibuat oleh sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan pada 24 Jun lalu. - Bernama