PETALING JAYA: Jenama dalam senarai barangan yang dirampas dari kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa lokasi dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu bukanlah jenama mewah yang kebiasaan. Sebagai contoh, Chopard, Cartier, Bijan, Hermes, Richard Mille dan Rolex menduduki kedudukan teratas pasaran fesyen dan aksesori mewah. Walaupun ia kurang dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia, House of Bijan dilabelkan sebagai "kedai paling mahal di Rodeo Drive" di Los Angeles. Kunjungan ke butik itu hanya dibuat menerusi temujanji sahaja. Rumah fesyen yang diasaskan oleh pereka Iran Pakzad Bijan, terkenal dengan koleksi pakaian lelaki dan wangian. Digambarkan sebagai "yang paling mahal" di dunia, para pelanggannya dilaporkan termasuk bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dan Barack Obama - yang mana Bijan merupakan perunding imejnya. Selain itu, ia termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair. Jam tangan yang dipakai oleh Rafael Nadal. Foto Youenn.b Hermes merupakan rumah fesyen mewah tertua di dunia. Baru-baru ini, Birkin vintaj dilelong di London pada harga £162,500 (RM865,463), menjadikannya sebagai beg tangan paling mahal yang pernah dijual di Eropah. Menurut Indeks Mewah Kadence 2018, Cartier dinamakan sebagai jenama mewah terbaik. Himpunan jam tangan emasnya mungkin bernilai mencecah jutaan ringgit. Jam Paul Newman Rolex Daytona dikatakan sebagai yang paling mahal, dengan anggaran harga RM3.5 juta. Model ini menjadi popular selepas pelakon Hollywood memakai jam tangan berkenaan. Jam tangan yang dimiliki pemiliknya sendiri, Newman dijual pada tahun lepas pada harga As$17.8 juta (RM71.8 juta). Jam tangan Paul Newman Rolex Daytona. Foto AFP Bagaimanapun, ia bukan sekadar tanda harga yang menjadikan jenama-jenama ini begitu eksklusif. Kesemuanya dilihat dipakai oleh selebriti, menjadikan ia sebagai 'kemestian' untuk kekal berada dalam kelas atasan. Pemain tenis nombor satu dunia, Rafael Nadal memiliki beberapa jam tangan Richard Mille. Beliau memakai jam tangan model RM 27-03 bernilai AS$725,000 (RM2,922,837) di gelanggang dan memenangi Terbuka Perancis tahun ini. Chopard pula sering dilihat di permaidani merah di gala filem dan majlis anugerah. Baru-baru ini, selebriti seperti Julianne Moore, Cate Blanchett, Isabelle Adjani dan Zhao Tao menyarungkannya dalam pelbagai bentuk dan rekaan di Festival Filem Cannes di Perancis.