suria

Lebih 22,000 tan 'sampah raya'

Pekerja Alam Flora membersihkan sampah dan sisa pepejal di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman pada 15 Jun lalu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Lebih 22,000 tan metrik sisa domestik, pukal dan kebun dikutip oleh Alam Flora Sdn Bhd dalam tempoh 10 hari pertama bulan Syawal ini melibatkan tiga kawasan perkhidmatannya – Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, jumlah kutipan sisa berkenaan turut mencatat penurunan hampir 1,700 tan metrik berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

"Daripada jumlah keseluruhan sampah yang dikutip, hampir 70 peratus adalah sisa makanan yang menjadi penyumbang terbesar, manakala selebihnya sisa pukal dan sisa kebun.

"Penurunan kutipan mungkin disebabkan ramai warga kota masih menyambut Aidilfitri di kampung masing-masing dan jumlah kutipan dijangka meningkat pada minggu berikutnya apabila aktiviti rumah terbuka giat berlangsung terutama pada hujung minggu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, tabiat pembaziran semasa menghadiri majlis rumah terbuka dapat dielakkan sekiranya masyarakat mengamalkan konsep 5R iaitu Refuse (menolak), Reduce (mengurangkan), Reuse (guna semula), Recycle (kitar semula) dan Recovery (pemulihan/diperbaharui).

Contohnya, tuan rumah dinasihat menggunakan pinggan mangkuk yang boleh dicuci dan diguna semula serta memastikan anggaran jumlah makanan yang disediakan kepada tetamu tidak berlebihan.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari bermula 8 pagi hingga 8 malam untuk sebarang aduan atau berkongsi maklumat mengenai tahap kebersihan di kawasan masing-masing. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain