KUALA LUMPUR: Penilaian wang tunai dan barangan bernilai RM1.1 bilion yang dirampas dari premis yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dibesar-besarkan, kata Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. Ketua Polis Negara berkata, penilaian tersebut dilakukan oleh kumpulan pakar yang membantu pasukan penyiasat. "Kita tidak melakukannya tetapi pakar-pakar yang tampil dan menilai nilai barangan berkenaan. "Pengiraan itu tidak dibuat secara sembarangan kerana kita perlu mematuhi prosedur dan proses yang sewajarnya," katanya pada sidang media, Khamis. Ditanya sama ada Najib boleh melihat barangan yang dirampas, Fuzi berkata, polis akan mempertimbangkan permintaan tersebut dan perlu mematuhi prosedur. Mengenai status siasatan, Mohamad Fuzi berkata, terdapat banyak sudut untuk dilihat. "Saya tidak boleh mengatakan sama ada kita sudah separuh jalan atau suku. Beri kita masa untuk menyiasat perkara ini," katanya. Pada Rabu, Najib mendakwa harga barang kemas dan barangan lain yang dirampas polis adalah tidak realistik.