PETALING JAYA: Ketaksuban rakyat Malaysia terutama golongan wanita untuk mengambil jalan singkat demi mendapatkan kulit putih melepak semakin membimbangkan. Doktor popular, Dr Nur Amalina Che Bakri sering memuat naik posting tentang bahaya penggunaan produk seumpama itu menerusi laman Twitternya bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna. Namun, niat baiknya itu disalah erti apabila seorang pengasas produk kosmetik kontroversi mendakwa doktor wanita itu bertindak begitu hanya kerana mahu menjaga kepentingan peribadinya. Pengasas berkenaan, Safiey Ilias memberikan reaksi kepada netizen yang mengkritik rakyat Malaysia kerana lebih mempercayai testimoni berbanding kajian saintis. Dr. Amalina menjelaskan dia adalah seorang pakar bedah yang tidak terlibat dalam perubatan estetik. Pengasas itu yang pernah mencetuskan kontroversi kerana ingin 'kembali menjadi lelaki' berkata: "Dr Amalina pun ada kepentingan dia juga. Cuma dia doktor. Gi doktor estetik, cari kristal tomato." Kata Dr Nur Amalina, dakwaan itu adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang datang daripada seorang pengasas produk kecantikan. "Sebagai seorang doktor, saya mempunyai tanggungjawab beretika untuk melindungi kesihatan orang awam. "Saya tidak mendapat sesen pun bagi mendidik orang ramai menerusi laman sosial dan kerja saya tidak berkaitan langsung dengan perubatan estetik. "Saya yakin yang saya tidak melindungi kepentingan peribadi. Saya seorang pakar bedah yang bertugas di sebuah hospital di London dan perniagaannya langsung tidak memberi kesan terhadap pekerjaan saya," katanya kepada mStar Online. Doktor yang sedang mengikuti latihan pakar dalam bidang Pembedahan Awam (Pakar Bedah Pelatih) di United Kingdom itu kerap memuat naik posting di laman Twitter berkaitan isu tersebut selepas para pengikutnya kerap bertanyakan tentang risiko pengambilan supplemen, krim pencerahan dan suntikan kecantikan. Dr Rafidah. Sementara itu, seorang pakar buah pinggang, Dr Rafidah Abdullah pula berkata, beliau kerap menerima kes melibatkan pesakit yang mengalami komplikasi akibat penggunaan produk tidak terkawal dan amalan kesihatan tidak bertauliah. "Sebarang suntikan intravena (IV) perlu dilakukan oleh individu terlatih dan keadaan yang benar-benar bersih. "Apa-apa bahan tambah yang dimasukkan ke dalam badan kita mungkin berbahaya kepada organ dalaman terutamanya hati dan buah pinggang," katanya sambil menjelaskan produk tambahan adalah salah satu faktor menyumbang kepada kegagalan buah pinggang. Dr Rafidah merupakan pakar buah pinggang sejak 2005 dan kini mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana 'Palliative Care' di Kolej Kings, London.