PETALING JAYA: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah memecat presidennya merangkap ketua pegawai eksekutif, Arul Kanda Kandasamy (gambar) berkuatkuasa Khamis, lapor The Edge. Surat penamatan jawatan itu diserahkan kepada Arul Kanda pada Khamis dan laporan tersebut mendakwa Arul Kanda dipecat atas alasan mengabaikan tanggungjawabnya. Kontrak Arul Kanda sepatutnya tamat pada hujung Disember 2017, namun disambung lagi enam bulan bermula Januari tahun ini. Usaha The Star untuk menghubungi Arul bagi mendapatkan pengesahannya berkenaan perkara itu tidak berjaya ketika berita ini ditulis. Penamatan kontrak tersebut berlaku dua hari lebih awal daripada tarikh tamat kontrak yang sebenarnya pada 30 Jun. Arul Kanda mula menyertai 1MDB pada Januari 2015.