suria

Sindrom penafian punca Mas Ermieyati tolak Umno

PETALING JAYA: Sehari selepas barisan kepimpinan baharu Umno dipilih, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyatakan pendiriannya untuk  tidak lagi bersama perjuangan parti berkenaan.

Menurut bekas ketua puteri Umno itu, keputusan yang dibuat itu selepas  harapan untuk melihat parti berkenaan memilih sekurang-kurangnya 70 peratus muka baharu yang berwibawa di pelbagai peringkat pada pemilihan 30 Jun tidak kesampaian.

"Saya turut percaya kepimpinan sedia ada masih enggan menerima kenyataan bahawa rakyat telah menolak Umno, sebaliknya mereka beranggapan Umno hanyalah mangsa kebencian rakyat kepada Datuk  Seri Najib (Tun Razak) semata-mata.

"Skandal 1MDB telah membuatkan rakyat Malaysia mempersendakan Umno.

"Pemulihan apakah ini, kalau virus masih dibiar berleluasa dan ubat terlalu pahit untuk ditelan?

"Ikhlas saya katakan Umno kebelakangan ini telah tergelincir dari landasan asal hingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri," jelasnya dalam satu kenyataaan pada Ahad.

Mas Ermieyati memberitahu, Pemilihan Umno 30 Jun (Sabtu) adalah tarikh menentukan hala tuju baharu semua ahli Umno.

"Di sini kita dapat menilai reaksi, sentimen dan sikap sebenar ahli Umno yang masih dalam sindrom penafian.

"Setelah memikirkan secara serius, tibalah masanya untuk saya melangkah ke hadapan dengan memfokuskan khidmat saya sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah, demi menjaga hal ehwal kebajikan dan pembangunan yang sewajarnya untuk dinikmati oleh para pengundi saya dan menyuarakan dan melindungi hak-hak rakyat.

"Bermula 1 Julai 2018 dengan seikhlas hati tanpa ada mana-mana paksaan atau ancaman, saya mengumumkan keluar daripada parti Umno bersama-sama dengan pengikut setia saya dan saya akan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

"Menjadi ahli parlimen yang berperanan menegur dan menasihati pihak Kerajaan sebagai “Check and balance” atas dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan PH tanpa terikat dengan etika ahli parlimen yang mewakili sesebuah parti.

“Berlandaskan latar belakang saya sebagai bekas peguam, saya berharap untuk membuat yang terbaik bagi rakyat Malaysia untuk memastikan badan eksekutif di pantau oleh Parlimen yang efektif," jelasnya.


Mas Ermieyati, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain