PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditahan di lokap Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, sementara menunggu pertuduhan di mahkamah, Rabu. Difahamkan, kenderaan yang membawa Najib tiba pukul 4 petang tadi di ibu pejabat SPRM di sini. Sebelum itu, Najib ditahan di kediamannya di Jalan Langgak Duta, jam 2.35 petang tadi. Pasukan Petugas Khas 1MDB dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan tangkapan dibuat terhadap Najib berkaitan SRC International Sdn Bhd. Menurut kenyataan itu, Najib akan dituduh jam 8.30 pagi esok di Mahkamah Kuala Lumpur. Pada bulan lalu, Najib dua kali dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan rasuah berkaitan SRC dan 1MDB yang sedang dijalankan oleh SPRM.