PUTRAJAYA: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berhak mengambil tindakan guaman terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaannya mengenai dana RM2.6 bilion, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Guan Eng berkata kementerian itu menaruh sepenuh keyakinan ke atas integriti dan kredibiliti Zeti. "Saya yakin ke atas Zeti. Beliau tahu apa yang perlu dilakukan dan biar dia mengambil tindakan sewajarnya,” kata Lim kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Terbuka Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini, Selasa. Baru-baru ini, Najib dalam satu temu bulan bersama portal berita Malaysiakini, mendakwa Zeti, ketika menjadi gabenor Bank Negara, mengetahui mengenai RM2.6 bilion dalam akaunnya (Najib) sebelum Pilihan Raya Umum 2013, namun tidak mempersoalkan perkara itu. Dalam temu bual itu, Najib sekali lagi menyatakan wang berjumlah RM2.6 bilion itu merupakan derma daripada anggota keluarga Diraja Arab Saudi. Sementara itu, Zeti yang ditemui pemberita selepas mesyuarat ahli Majlis Penasihat Kerajaan di sini hari ini. Beliau enggan mengulas ketika ditanya mengenai akaun bank RM2.6 billion itu. “Saya tidak mahu mengulas mengenainya sekarang kerana ia merupakan satu kes saya tidak boleh beri komen mengenainya sekarang. Namun, pada satu tahap, anda akan dapat komen itu,” katanya.- Bernama