PETALING JAYA: Hanya dua wakil rakyat pembangkang yang tidak berganjak dari Dewan Rakyat apabila kesemua ahli parlimen Barisan Nasional (BN) keluar dewan bersama ahli parlimen PAS sebagai tanda protes terhadap proses pelantikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
ARTIKEL BERKAITAN: Hari pertama di Parlimen, MP pembangkang keluar dewan!
Mereka ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman.
Anifah berkata, mereka telah menzahirkan rasa tidak setuju dan puas hati terhadap proses pelantikan Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat pada Isnin.
Malah bekas menteri luar itu berkata, beliau menghormati pandangan dan pendirian rakan-rakan lain yang berdiri sebagai pembangkang pada hari ini.
“Bagaimanapun saya berpendapat dan merasakan tidak perlu untuk saya bertindak meninggalkan dewan pada pagi tadi.
“Saya akan bertindak dalam mana isu-isu yang akan memberi manfaat pada rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada petang Isnin.
Anifah turut mengucapkan tahniah kepada Mohamad Ariff di atas pelantikan tersebut.
Sementara itu, Khairy berkata, tindakan beliau tidak keluar Dewan Rakyat seperti yang dilakukan oleh rakan pimpinan BN dan PAS pagi Isnin kerana beliau menghormati majlis.
Jelasnya, walaupun terdapat pertikaian berhubung pelantikan Speaker Dewan Rakyat, namun tindakan keluar Dewan bukan cara untuk menyatakan bantahan.
"Hari ini merupakan hari kita mengangkat sumpah jadi kita perlu hormati Dewan dan juga menghormati majlis angkat sumpah.
"Cara mana kita nak bantah itu kita boleh buat sewaktu perbahasan nanti atau selepas upacara perasmian pembukaan pada hari esok dalam perbahasan atau melalui 'standing order' pada hari Rabu," ujar Khairy.