KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin mungkin tidak menyedari rancangan Barisan Nasional (BN) untuk membuat bantahan dengan bertindak keluar dari Dewan Rakyat di Parlimen pada Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: Tak berganjak dari Dewan Rakyat, ini jawab KJ, Anifah Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, Ahli Parlimen Rembau itu tidak menghadiri mesyuarat penyelarasan pra persidangan parlimen pada Ahad malam. "Dia tidak hadir pada mesyuarat itu, mungkin dia sibuk dengan final Piala Dunia. "Pada mesyuarat ini, kita memutuskan bahawa sekiranya kita tidak dibenarkan mengemukakan bantahan kita dengan cara yang telah ditetapkan oleh Speaker, kita akan keluar dewan dan bercakap kepada pemberita," katanya pada sidang media di sini, Isnin. Annuar berkata, kesemua mereka terkejut apabila Khairy tidak berganjak dari Dewan Rakyat. Ditanya sama ada bekas Menteri Belia dan Sukan itu akan dikenakan tindakan, Annuar berkata, "tiada tindakan". Kesemua wakil rakyat pembangkang keluar dari Dewan Rakyat sebagai tanda protes terhadap proses pelantikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. Terdahulu, ketika sesi pencalonan berlangsung, Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) bangun memprotes pelantikan itu sambil merujuk Peraturan Mesyuarat, namun proses pelantikan diteruskan. Ketika berlaku kekecohan, Dr Mahathir tidak menghiraukan protes pembangkang dan terus membaca usul pelantikan Mohamad Ariff sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat. Pelantikan Mohamad Ariff dicadangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (PPBM-Langkawi) dan disokong timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Pandan).